JPA belum terima cadangan terperinci suruhanjaya perkhidmatan kesihatan

Sumber: Free Malaysia Today
JPA belum terima cadangan terperinci suruhanjaya perkhidmatan kesihatan
Gambar: Free Malaysia Today

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih belum menerima cadangan terperinci daripada Kementerian Kesihatan berhubung penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapha Sakmud.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Mustapha berkata cadangan itu mempunyai implikasi meluas kerana melibatkan pengesahan kakitangan kesihatan, kenaikan pangkat, pertukaran, tindakan tatatertib dan pengurusan keseluruhan tenaga kerja penjagaan kesihatan awam.

Beliau berkata kerajaan mengakui sektor kesihatan memerlukan tenaga kerja khusus dan dinamik. Keadaan itu memerlukan fleksibiliti dalam pengurusan jawatan, pengambilan pekerja dan pembangunan kerjaya, namun cadangan penubuhan suruhanjaya berkenaan perlu diteliti dengan cermat.

Penilaian itu, katanya, perlu mengambil kira dasar perbelanjaan awam yang ditetapkan melalui pekeliling Perbendaharaan. Ini termasuk pertimbangan terhadap pewujudan jawatan dan entiti baharu, yang tertakluk kepada kawalan ketat kerajaan.

Mustapha berkata kerajaan perlu mengoptimumkan sumber sedia ada dan mengelakkan implikasi kewangan tambahan. Kementerian Kesihatan juga perlu mengenal pasti serta menentukan status suruhanjaya yang dicadangkan itu, sama ada ia menjadi sebahagian daripada perkhidmatan awam Persekutuan atau ditubuhkan sebagai badan berkanun yang sesuai, dengan kerjasama JPA dan Perbendaharaan.

Beliau berkata penentuan status itu penting sebagai asas kepada pertimbangan dan tindakan seterusnya berkaitan pelantikan, urusan perkhidmatan serta saraan dalam perkhidmatan kesihatan awam. Kementerian turut perlu menjelaskan fungsi dan skop tugas suruhanjaya bagi memastikan tiada pertindihan dengan agensi atau kementerian sedia ada.

Mustapha menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng), yang meminta butiran mengenai cadangan suruhanjaya itu dan sama ada ia akan mempunyai autonomi menetapkan emolumen pekerja kesihatan tanpa tertakluk kepada JPA.

Beliau berkata kuasa suruhanjaya perkhidmatan untuk melantik kakitangan dan mengurus sesuatu perkhidmatan tidak secara automatik memberikannya autonomi dalam hal kewangan dan emolumen. Keputusan mengenai suruhanjaya itu serta skop autonomi yang boleh diberikan, katanya, tertakluk kepada penelitian lanjut dan kelulusan kerajaan.

Bulan lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata beliau akan berusaha mendapatkan keputusan Kabinet mengenai suruhanjaya berkenaan menjelang akhir tahun. Jika diluluskan, beliau berharap rang undang-undang berkaitan dapat dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum penggal Parlimen semasa berakhir.