Jenazah A Samad Said selamat dikebumikan di Bukit Kiara

Sumber: Harian Metro
Jenazah A Samad Said selamat dikebumikan di Bukit Kiara
Gambar: Harian Metro

Jenazah Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, pada 10.55 pagi ini. Sebelum itu, solat jenazah di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar telah dipimpin Imam 1 masjid berkenaan, Muhammad Abid Ayub, dengan lebih 300 jemaah terdiri daripada ahli keluarga Allahyarham, rakan penggiat seni serta orang ramai.

Turut hadir pada pengebumian ialah Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan tokoh wartawan Datuk A. Kadir Jasin. Jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan bagi urusan pengebumian. Antara mereka yang memberikan penghormatan terakhir di tanah perkuburan ialah veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang, Presiden Persatuan OKU Sentral Datuk Ras Adiba Mohd Radzi serta tiga Sasterawan Negara iaitu Datuk Dr Anwar Ridhwan, Prof Datuk Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Hadir sama pada majlis ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hazami Jahari serta penyanyi dan komposer terkenal Datuk M. Nasir. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 6.10 petang semalam selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sakit tua selain turut menghidap diabetes.

A Samad Said, dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, merupakan penerima Anugerah Sastera Negara keempat pada 1985 dan terkenal dengan karya agung seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu serta Hujan Pagi.