Janna Nick akui tertekan dipersenda isu berat badan naik

Pelakon Janna Nick mengakui dirinya berasa kecewa dan tertekan apabila perubahan fizikal khususnya peningkatan berat badannya dipersenda netizen, menurut laporan daripada Putrajaya. Beliau berkata tidak memerlukan komen berhubung perkara yang sudah diketahui dan dirasainya sendiri.
“Apabila kita sendiri sudah sedar tetapi orang lain menambah lagi dengan komen sedemikian, kita akan berasa sangat tertekan dan kecewa. Sebagai wanita, apabila kita mula berasa tidak seronok untuk mengenakan pakaian, sebenarnya kita tidak memerlukan orang lain untuk mengecam kita. Orang tidak perlu mengatakan saya gemuk atau meminta saya kurus sedikit. Tidak perlu kerana kita sendiri sedar keadaan diri dan tidak berilusi,” katanya ditemui pada majlis pengumuman dirinya sebagai duta rasmi 3Days x Turun KG musim kedua, di sini, hari ini.
Janna turut menjelaskan kesedaran terhadap perubahan fizikal itu turut timbul ketika melihat cermin atau mencuba pakaian yang disukai, apabila mendapati penampilan dirinya tidak seperti yang diharapkan. “Contohnya, apabila melihat pakaian yang cantik pada patung peraga tetapi selepas memakainya, kita tertanya-tanya mengapa kita kelihatan gemuk atau lengan nampak besar. Dari situ pun kita sudah ada kesedaran sendiri. Jadi, netizen tidak perlu bersusah-payah datang dan memberitahu kita bahawa kita gemuk,” katanya.
Mengulas mengenai keputusan memulakan usaha menurunkan berat badan, Janna berkata langkah itu dilaksanakan atas kesedaran dan keinginan untuk perubahan demi diri sendiri. Usaha itu bukan lagi berkaitan suami atau perancangan untuk mendapatkan cahaya mata, sebaliknya lebih kepada meningkatkan keyakinan dan keselesaan terhadap penampilan diri. “Apabila orang mengatakan kita gemuk dan kita sendiri tahu kita gemuk, jadi bila lagi kita akan bermula? Saya mahukan perubahan untuk diri sendiri kerana mahu lebih yakin dengan penampilan. Saya mahu kelihatan cantik, kemas dan berasa selesa setiap kali mengenakan pakaian. Bagi saya, keyakinan diri itu penting. Jadi, apa yang saya usahakan sekarang adalah untuk diri sendiri, bukan kerana mahu memenuhi kehendak suami,” katanya.
Menurutnya, usaha mencapai sasaran menurunkan berat badan daripada 77 kilogram kepada 67 kilogram dalam tempoh 90 hari menyebabkan dia mengambil keputusan menangguhkan sementara perancangan mendapatkan zuriat atau Trying to Conceive (TTC). Beliau turut menghentikan pengambilan ubat hormon buat sementara waktu bagi mengelakkan kemungkinan percanggahan dengan produk yang digunakan sepanjang program berkenaan. “Perjalanan TTC saya akan dihentikan buat sementara waktu. Saya juga sudah berhenti mengambil ubat hormon kerana tidak mahu berlaku sebarang percanggahan dengan pengambilan produk,” katanya.