Pandak mahu jajaran e-ART diperluas ke Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI: Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) menggesa kerajaan negeri menilai semula cadangan jajaran sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) supaya merangkumi Iskandar Puteri ketika membahaskan Belanjawan Johor 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN), di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.
Beliau berkata Iskandar Puteri mempunyai kepentingan besar dalam pembangunan negeri, khususnya bagi agenda Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City.
Kawasan itu juga menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri, pembangunan komersial dan perumahan, selain lokasi strategik seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Namun, Pandak berkata Iskandar Puteri setakat ini tidak termasuk dalam cadangan pembangunan e-ART terkini.
Beliau turut membangkitkan ketersambungan rel ke kawasan itu yang belum disediakan oleh perkhidmatan Komuter Selatan, walaupun terdapat jaringan rel sedia ada hingga ke PTP.
“Jaringan rel sedia ada (di Iskandar Puteri) perlu dimanfaatkan bagi menyokong pertumbuhan kawasan ini,” katanya.
Pandak berkata kerajaan negeri perlu memberi perhatian kepada perkara itu dan berharap projek e-ART dapat dipercepat bagi membentuk jaringan pengangkutan awam Johor yang lebih menyeluruh serta bersepadu. Usaha berkenaan, katanya, penting menjelang pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada Februari tahun depan.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata jajaran Skudai dan Tebrau diberi keutamaan dalam cadangan e-ART, berbanding Iskandar Puteri.
Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri pada asalnya mencadangkan ketiga-tiga jajaran itu, termasuk Iskandar Puteri, tetapi perlu menentukan keutamaan kerana projek tersebut masih belum bermula.
Dalam perbahasan sama, J. Kartiyaini (PH-Skudai) meminta kerajaan negeri mempertimbangkan Skim Perumahan Sewa Mampu Milik Johor khusus untuk penjawat awam dan isi rumah berpendapatan pertengahan yang bekerja di negeri ini.
Beliau berkata skim itu boleh menjadi penyelesaian jangka panjang ketika kadar sewa di pasaran terbuka, khususnya di kawasan Greater Johor Bahru, semakin tinggi dan membebankan. Katanya, penjawat awam seperti guru, doktor, jururawat dan anggota polis yang ditempatkan di Johor sering tidak layak memohon Program Perumahan Rakyat (PPR), manakala pembelian rumah bukan pilihan praktikal bagi mereka yang mungkin dipindahkan selepas beberapa tahun atau bulan.
“Ada juga yang tidak mampu beli rumah, sebab slip gaji tidak ‘cantik’. Akibatnya, mereka terpaksa menyewa di pasaran terbuka. Sebagai gambaran, kadar sewa studio di Johor Bahru boleh mencecah kira-kira RM1,800 sebulan, bergantung pada lokasi dan kemudahan,” katanya.
Kartiyaini berkata dasar perumahan negeri perlu menyokong pembangunan ekonomi supaya jurutera, juruteknik dan pekerja mahir rakyat Malaysia mampu tinggal serta bekerja di Johor. Beliau mencadangkan skim itu dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemaju swasta, dengan unit sewaan disediakan berhampiran hospital, sekolah serta kawasan perindustrian pada kadar munasabah.