JAINJ siasat penemuan al-Quran dan buku agama di tepi jalan

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menjalankan siasatan dan membuat laporan polis susulan penemuan bungkusan plastik berisi naskhah al-Quran serta pelbagai buku agama di tepi jalan di Ulu Tiram, semalam.
Pengarah JAINJ, Datuk Mohd Radzi Mohd Amin, berkata siasatan itu bertujuan mengenal pasti fakta dan punca kejadian serta pihak yang bertanggungjawab. Laporan polis dibuat bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
“Kesemua bahan berkaitan yang dikenal pasti sudah diambil pihak JAINJ dan ditempatkan di Pusat Pemurnian Al-Quran Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Radzi, bahan berkenaan diletakkan di pusat itu untuk memastikan ia berada dalam keadaan terkawal dan diuruskan mengikut kaedah serta tatacara yang ditetapkan.
Beliau berkata JAINJ memandang serius pembuangan teks al-Quran, bahan bercetak yang mengandungi ayat suci al-Quran dan buku agama yang tidak diuruskan dengan sewajarnya. Keadaan itu boleh menimbulkan kebimbangan serta sensitiviti dalam kalangan masyarakat Islam.
Pengurusan dan pelupusan bahan berkenaan, katanya, perlu mematuhi undang-undang serta peraturan sedia ada bagi menghormati kesucian dan kedudukan al-Quran. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi JAINJ menerusi talian hotline 07-207 6429.
Terdahulu, polis dilaporkan menjalankan siasatan selepas menerima laporan orang awam. Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Victor Genason, berkata pemeriksaan di lokasi menemukan 22 naskhah al-Quran, tiga naskhah terjemahan al-Quran, 18 naskhah surah Yasin serta pelbagai buku agama, buku teks sekolah dan buku tulis.