Pesanan terakhir Noryshah: Jaga diri dan adik

Sumber: Harian Metro
Pesanan terakhir Noryshah: Jaga diri dan adik
Gambar: Harian Metro

ARAU: Noryshah Umar, 47, maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh pokok di Jalan Kampung Tebuk Tengah, di sini, jam 4.40 petang semalam. Anak keduanya, Ku Hekmar Dianel Ku Sofian, 21, berkata pesanan terakhir ibunya kepadanya ialah supaya menjaga diri dan adik.

“Jaga diri elok-elok, jaga adik,” kata Ku Hekmar Dianel, mengulangi pesan ibunya sebelum dia ke Langkawi baru-baru ini.

Menurutnya, Noryshah begitu teruja untuk menyambut ulang tahun kelahiran anak bongsu mereka, Ku Haris Zaquan Ku Sofian, yang juga pelajar Tingkatan Satu, semalam. Allahyarham merancang memasak mi goreng dan mengadakan jamuan makan malam sempena hari lahir itu.

“Arwah juga sempat membeli barang keperluan selepas pulang kerja sebelum kejadian berlaku,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ku Hekmar Dianel berkata, dia tidak sempat bersama ibunya buat kali terakhir. Hanya kakak sulung mereka sempat berada di sisi Noryshah sebelum wanita itu menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian.

“Rasa sedih sangat apabila tiba di tempat kejadian mak sudah tiada,” katanya.

Katanya, ibu mereka berpisah dengan bapanya ketika dia berusia 10 tahun. Adik bongsunya paling terkesan dengan kehilangan itu, namun dia dan kakak sulung berazam menjaga serta membesarkan adik mereka sebaik mungkin.

Jenazah Noryshah diimamkan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji, Ustaz Adnan Fadhil, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebuk Tengah, Simpang Empat, jam 11 pagi tadi.