Waktu solat Selangor diubah ikut daerah mulai 2027, bukan lagi zon

SHAH ALAM: Jadual waktu solat di Selangor akan diubah mengikut daerah berbanding pembahagian tiga zon, berkuat kuasa 1 Januari 2027. Perubahan itu dilaksanakan membabitkan daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Klang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang, bagi meningkatkan ketepatan waktu solat berdasarkan kedudukan geografi setiap daerah.
Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir berkata perubahan ini menjadikan setiap daerah mempunyai jadual waktu solat tersendiri berbanding sebelum ini yang digabungkan dalam tiga zon. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Taklimat Perubahan Zon Waktu Solat Negeri Selangor Berdasarkan Daerah di Shah Alam hari ini.
Beliau menjelaskan penentuan waktu solat baharu timbul susulan aduan dan semakan mendapati berlaku laungan azan yang tidak konsisten pada Ramadan sehingga mengganggu ibadah puasa. Anhar menegaskan umat Islam tidak perlu khuatir terhadap perubahan berkenaan dan menasihatkan untuk merujuk kepada laman sesawang rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor untuk mendapatkan jadual baharu itu.
Anhar turut memaklumkan jadual waktu solat bagi sembilan daerah untuk 2027 telah disediakan dan boleh dirujuk menerusi laman sesawang Jabatan Mufti Negeri Selangor. Beliau berkata Insya-Allah untuk aplikasi Iman, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga sedang berbincang bagi memasukkan jadual waktu solat Selangor baharu.