Individu terpilih bantu pemulihan Hafizuddin

Sumber: Harian Metro
Individu terpilih bantu pemulihan Hafizuddin
Gambar: Harian Metro

Kuala Lumpur: Sokongan psikologi berterusan menjadi elemen penting dalam membantu atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin, mengharungi fasa penerimaan selepas kehilangan tangan kanan akibat kemalangan motosikal bulan ini. Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, berkata pakar psikologi sukan Nor Azura Mat Nasir telah memberikan sokongan kepada pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu sejak hari kedua selepas kejadian, dan terus hadir setiap hari bagi membantu mengurangkan tekanan emosi dihadapinya.

Difahamkan Nor Azura adalah individu yang diminta sendiri oleh Muhammad Hafizuddin untuk membantunya, memandangkan atlet itu telah berada di bawah bimbingan psikologinya sejak 2024. "Kami cukup bertuah kerana Nor Azura selaku psikologis sentiasa membantu sejak hari kedua kejadian dan terus memberikan sokongan sehingga kini. Beliau sebelum ini banyak menyumbang kepada sukan angkat berat dan juga amat rapat dengan atlet-atlet. Beliau telah memberikan bimbingan dan sebagainya dan keadaan Muhammad Hafizuddin semakin bertambah baik," katanya selepas lawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini. Nor Azura kini bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam serta merupakan kaunselor berdaftar dan pernah berkhidmat sebagai psikologis sukan angkat berat bersama Institut Sukan Negara (ISN) dari 2018 hingga 2025.

Ayub ketika mengulas keadaan terkini atlet itu berkata Muhammad Hafizuddin mengalami migrain sejak malam tadi dipercayai akibat kekurangan tidur serta kemungkinan faktor emosi, namun keadaan keseluruhannya tidak membimbangkan berdasarkan pemantauan doktor. Dalam lawatan itu, Mohamad Norza mengumumkan sumbangan RM10,000 daripada dana MOM serta RM10,000 lagi daripada peruntukan peribadinya bagi membantu Muhammad Hafizuddin melalui tempoh pemulihan. Mohamad Norza berkata sokongan berterusan daripada pelbagai pihak penting bagi memastikan atlet berkenaan tidak berasa tersisih atau terpaksa menghadapi dugaan itu bersendirian.

Kata beliau, "Kata-kata tak ada yang mampu mengubati. Kami diberitahu oleh doktor, ahli psikologi dan PABM bahawa keadaan semakin baik. Itu sangat penting. Kami tak mahu beliau dipinggirkan dan kami tak mahu beliau menderita kesorangan. Kami tak mahu beliau rasa tidak didampingi mereka-mereka yang selama ini beliau bagi jasa. Kami ingin menunjukkan bahawa kami prihatin. Kami ingin menunjukkan bahawa kami menghargai sumbangannya. Kami ingin menunjukkan bahawa apa sahaja yang telah beliau lakukan, pengorbanannya itu tidak sia-sia," tambahnya. Dalam perkembangan lain, PABM mahu mempercepatkan perpindahan atlet angkat berat negara dari Bukit Jalil ke Pusat Kecemerlangan Sukan Angkat Berat Kebangsaan di Rompin, Pahang bagi mewujudkan persekitaran latihan lebih terkawal dan memperkukuh disiplin atlet.

Ayub berkata Rompin dilihat lebih sesuai untuk sukan individu seperti angkat berat kerana persekutuan perlu memastikan atlet mematuhi peraturan tanpa menjejaskan kesinambungan latihan sekiranya berlaku pelanggaran disiplin. Beliau berkata perbincangan bersama pengurusan tertinggi Majlis Sukan Negara (MSN) akan diadakan pada 3 Dis bagi memperincikan perancangan berkenaan, termasuk kerja menaik taraf kemudahan penginapan dan infrastruktur di pusat berkenaan.