Impian keluarga dorong Abbas Ali dan Sofea Maisarah raih kecemerlangan

Sumber: Harian Metro
Impian keluarga dorong Abbas Ali dan Sofea Maisarah raih kecemerlangan
Gambar: Harian Metro

TANJONG MALIM: Impian seorang nenek untuk melihat cucunya menjadi individu pertama dalam keluarga memiliki ijazah menjadi kenyataan apabila Abbas Ali Iftikhar Hussain, 24, menerima Anugerah Pelajaran Diraja (APDR) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-28, di sini, hari ini.

Abbas Ali, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kimia) dengan Kepujian, berkata impian nenek serta harapan ibu bapanya menjadi pendorong untuk berusaha mencapai kecemerlangan akademik. Beliau turut aktif dalam pelbagai kegiatan pembangunan mahasiswa sepanjang pengajian.

Anak kepada pemandu lori, Iftikhar Hussain Sadiq Hussain, 59, dan kerani kewangan, Nursham Abdullah, 53, itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.87 bagi ijazah sarjana muda. Sebelum itu, beliau mencatat PNGK 3.93 dalam Diploma Teknologi Makmal di UPSI.

Abbas Ali berkata, kejayaannya bukan hasil usaha sendiri semata-mata, sebaliknya turut didorong sokongan dan pengorbanan keluarga, guru serta pensyarah yang membimbingnya.

“Impian yang saya tanam sejak diploma akhirnya menjadi kenyataan, malah kejayaan ini bukan milik saya sepenuhnya tetapi milik semua insan yang banyak menyokong, membimbing dan mendoakan saya dari kecil sehingga hari ini,” katanya.

Beliau menerima Anugerah Dekan bagi lapan semester pengajian dan menghasilkan dua artikel dalam jurnal berindeks Scopus sebagai penulis utama serta penulis bersama. Penglibatannya dalam pendidikan pembangunan mampan turut diiktiraf apabila beliau dinobatkan sebagai Tokoh Kelestarian Siswa Negara 2025 dan Tokoh Siswa UPSI 2026.

Seorang lagi penerima APDR, Sofea Maisarah Shuib, 25, berkata kejayaan itu lebih bermakna kerana beliau kini hamil tujuh bulan anak pertama. Suaminya, Muhammad Hazim Haziq Mond Rizal, 25, yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) dengan Kepujian, bakal menerima ijazah pada sesi keenam konvokesyen dengan PNGK 3.65.

Sofea Maisarah menerima anugerah itu daripada Raja Permaisuri Perak merangkap Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim, pada sesi pertama istiadat berkenaan. Beliau berkata, mereka mula berkenalan ketika mengikuti Diploma Kaunseling Islami di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, pada 2019, sebelum menyambung pengajian di UPSI dalam bidang bimbingan dan kaunseling.

Beliau memperoleh PNGK 3.94, selain mencatat Purata Nilai Gred Semasa (PNGS) 4.00 sebanyak empat kali dan menerima Anugerah Dekan pada setiap semester. Sofea Maisarah turut terpilih sebagai Calon Rentas Cemerlang A bagi Internship Kaunseling pada semester akhir.

Dalam bidang kaunseling dan pendidikan, beliau menghasilkan lima inovasi yang meraih empat Gold Award dan satu Bronze Award menerusi pertandingan peringkat antarabangsa. Antara pengalaman yang paling bermakna, katanya, ialah memberikan sokongan psikososial dan bantuan psikologi awal kepada keluarga serta rakan mangsa nahas bas pelajar UPSI di Gerik pada Jun 2025.

Pengalaman itu membolehkannya menggunakan ilmu kaunseling dalam situasi sebenar. Istiadat Konvokesyen UPSI berlangsung mulai hari ini hingga 2 Disember depan, membabitkan lapan sesi dengan 6,781 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing.