Honor lancar Magic9 Pro Max dengan kamera ARRI di Malaysia

Kuala Lumpur menjadi lokasi pelancaran peranti kelas perdana baharu, Magic9 Pro Max daripada Honor, yang menampilkan konfigurasi kamera oleh ARRI. Peranti ini dijulang sebagai "Raja Pengimejan Sinematik" sempena ulang tahun ke-10 siri itu melalui kerjasama dengan ARRI, dengan tarikh jualan rasmi bermula di seluruh negara pada 4 Disember ini dan pra-tempahan dibuka sehingga 3 Disember.
Dari segi spesifikasi, Magic9 Pro Max ialah telefon pintar pertama di Malaysia yang dikuasakan oleh platform Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6, dibina menggunakan teknologi dua nanometer. Ia dilengkapi Sistem Pengimejan Sinematik ARRI Dwi 200 Megapiksel untuk kamera utama dan kamera telefoto, dengan penstabilan CIPA 8.0. Kamera telefon utama dan telefoto turut menyertakan penstabilan, manakala kamera swafoto diperkuat dengan sensor 55MP. Telefon ini juga menggunakan Honor Imaging Chip H1 yang dibangunkan sendiri oleh syarikat itu.
Ciri-ciri ARRI CINEMA memuatkan ARRI LogC3 serta pustaka ARRI Look dengan sembilan tema dan 87 Looks, selain ARRI 4K LiveVideo yang merakam detik tiga saat dalam gaya sinematik. Dari segi tenaga, peranti disokong oleh bateri silikon-karbon berkapasiti 8,000mAh dengan pengecasan berwayar 100W dan pengecasan tanpa wayar 80W. Skrin Honor Diamond Screen menawarkan ketahanan calar sehingga 15 kali ganda dan impak sehingga 25 kali ganda, dengan penarafan IP68, IP69 dan IP69K.
Dari segi keselamatan, MagicOS 11 menyediakan AI Deepfake Detection dan AI Voice Cloning Detection yang mampu mengesan manipulasi wajah secara digital semasa panggilan video serta klon suara semasa panggilan telefon dalam masa beberapa saat. Peranti hadir dalam tiga warna iaitu Moss Green, Glacier Silver dan Shadow Black, dengan RAM 24GB (termasuk 12GB Honor Turbo RAM) dan storan 512GB, pada harga RM5,999.
Selain itu, Honor turut mengumumkan pra-tempahan dengan beberapa pakej hadiah bernilai kira-kira RM4,000, termasuk rebat segera RM300, kupon Professional Imaging Kit bernilai RM300 dan pembesar suara Harman Kardon Aura Studio 5. Peranti boleh dibeli di kedai seluruh negara mulai 4 Disember ini, manakala pra-tempahan dibuka sehingga 3 Disember.
Dalam masa yang sama, Honor turut memperkenalkan tablet Honor Pad X9b Max berharga RM1,499 yang dilengkapi paparan 13 inci 2.5K, bateri berkapasiti 10,100mAh dan pensijilan IMAX Enhanced. Selain itu, syarikat turut memperkenalkan barisan produk AIoT baharu termasuk Honor Choice Security Camera berharga RM129, manakala enam lagi produk dijangka ditawarkan tidak lama lagi.