Hodak diharap selesaikan isu pelepasan pemain untuk tugasan antarabangsa

Sumber: Harian Metro
Hodak diharap selesaikan isu pelepasan pemain untuk tugasan antarabangsa
Gambar: Harian Metro

Kuala Lumpur: Pengalaman luas Bojan Hodak dalam bola sepak tempatan serta kebolehannya memahami selok-belok politik bola sepak negara dilihat mampu menjadi kelebihan untuk menyelesaikan antara masalah terbesar skuad kebangsaan ketika ini iaitu keengganan kelab melepaskan pemain bagi tugasan antarabangsa. Pemerhati bola sepak, Prof Madya Dr Zulakbal Abdul Karim berkata, pengalaman pengendali dari Croatia itu di Malaysia, ditambah latar belakang bola sepak Eropah, mampu memberikan kedudukan dan pengaruh yang diperlukan untuk berunding dengan kelab berhubung pelepasan pemain.

Beliau dilihat mampu menyelesaikan banyak isu. Beliau cukup mengenali suasana bola sepak tempatan tetapi pada masa sama mempunyai pendekatan bola sepak Eropah. "Beliau boleh menangani politik dalam skuad kebangsaan, terutama isu kelab tidak melepaskan pemain," katanya. Isu berkenaan semakin mendapat perhatian apabila beberapa kelab menggunakan alasan jadual perlawanan yang padat untuk menolak permintaan melepaskan pemain bagi menyertai skuad kebangsaan. Zulakbal berkata, situasi seperti itu sebelum ini boleh mengundang tindakan hukuman terhadap kelab yang enggan memberikan kerjasama.

"Seorang jurulatih memerlukan pemain terbaik dan saya berharap pengaruh serta kebolehan diplomasi yang dimilikinya mampu menyelesaikan isu ini," katanya. Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menamatkan teka-teki pengendali baharu Harimau Malaya apabila secara rasmi melantik Hodak untuk mengambil alih tugas membimbing skuad kebangsaan, sekali gus menggantikan Peter Cklamovski yang meninggalkan pasukan pada Jun lalu. Pelantikan itu menyaksikan Hodak, 55, akan menjadi jurulatih ke-45 skuad senior negara sejak pasukan kebangsaan mula dibentuk pada 1956, selain menjadi pengendali import ke-20 dalam sejarah skuad negara.

Sebagai latar, sebelum ini kerusi ketua jurulatih negara ditinggalkan Cklamovski pada Jun lalu sebelum Tan Cheng Hoe diberikan tanggungjawab sebagai pengendali interim bagi mengemudi pasukan sehingga proses pelantikan jurulatih tetap dimuktamadkan semalam. Hodak bukan nama asing buat peminat bola sepak tempatan apabila pernah mengendalikan beberapa pasukan termasuk Kelantan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC selain skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19). Rekod kejayaannya cukup mengagumkan apabila membantu Kelantan muncul juara Liga Super 2012, Piala FA 2012 dan 2013 serta Piala Malaysia 2012 sebelum membawa JDT menjulang kejuaraan Liga Super 2014 dan Piala Sumbangsih 2015.

Pengendali kelahiran Croatia itu turut mencipta sejarah bersama KL City apabila membawa kelab berkenaan menjulang Piala Malaysia 2021 selain mara ke final Piala AFC 2022 dan final Piala FA 2023. Lebih membanggakan, Hodak turut membuktikan sentuhan kejurulatihannya di peringkat pembangunan apabila membimbing skuad B-19 negara menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2018. Beliau juga mencipta kejayaan lebih besar di Indonesia apabila membantu Persib Bandung muncul juara liga tiga musim berturut-turut iaitu 2023/2024, 2024/2025 dan 2025/2026 sebelum beralih ke peranan penasihat teknikal kelab itu pada Mei lalu.

Dengan pengalaman luas di pentas domestik dan antarabangsa serta pemahamannya terhadap corak bola sepak Malaysia, Hodak dijangka memikul tugas besar untuk membentuk semula kekuatan Harimau Malaya menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2030 pada tahun depan.