HASiL salur RM100,000 untuk tingkat kemudahan SK Batu 38

Sumber: Astro Awani
HASiL salur RM100,000 untuk tingkat kemudahan SK Batu 38
Gambar: Astro Awani

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menyalurkan peruntukan RM100,000 untuk memenuhi keperluan dan meningkatkan kemudahan pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 38, Sabak Bernam, Selangor. Perkara itu dimaklumkan Jabatan Khidmat Korporat HASiL dalam satu kenyataan pada Rabu.

Peruntukan berkenaan digunakan sepenuhnya menerusi Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) HASiL 2026, yang memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan sekolah serta sokongan kepada keperluan warga pendidik.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan inisiatif berkenaan dirancang berdasarkan keperluan yang dikenal pasti bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam dan pihak sekolah. Antara usaha yang dilaksanakan ialah menaik taraf dewan utama dan bilik muzik, menyediakan peralatan sukan, televisyen serta sistem siar raya, selain menganjurkan kursus peningkatan kompetensi guru.

Program yang bermula pada Ogos itu turut mengambil kira pelbagai aspek keperluan sekolah, termasuk pentadbiran, kurikulum, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Hal Ehwal Murid (HEM) dan kokurikulum. HASiL berkata pendekatan itu membolehkan bantuan disalurkan secara menyeluruh, bukan hanya untuk kemudahan fizikal.

Dalam masa sama, HASiL mendekati murid menerusi Program Sahabat HASiL yang melibatkan lebih 60 orang. Program itu memberikan pendedahan awal mengenai percukaian melalui sesi sembang percukaian, tayangan video dan permainan interaktif.

Aktiviti berkenaan bertujuan memperkenalkan peranan cukai dalam pembangunan negara serta kaitannya dengan kemudahan awam yang dinikmati masyarakat, menurut kenyataan itu.