Jihadisme global belum berakhir, sebaliknya mengubah pendekatan

MOGADISHU: Al-Shabab, cabang al-Qaeda di Somalia, menyalurkan beras, pasta, gula, minyak masak dan kacang kepada ratusan keluarga yang memerlukan pada Ogos, sambil mempromosikan kegiatan itu sebagai usaha kebajikan melalui media sosial dan stesen radionya.
Kumpulan yang menguasai kawasan luas di selatan dan tengah Somalia itu giat menonjolkan kegiatan kemanusiaannya sepanjang 2026. Usaha tersebut sebahagian daripada strategi untuk mendapatkan sokongan masyarakat tempatan dan memperlihatkan dirinya sebagai lebih daripada kumpulan jihad.
“Moga-moga Tuhan membalas jasa mereka,” kata seorang wanita tempatan dalam salah satu video Al-Shabab.
Kira-kira suku abad selepas serangan al-Qaeda pada 11 September di Amerika Syarikat, dan 12 tahun selepas kumpulan Negara Islam (IS) mengisytiharkan apa yang disebutnya sebagai khalifah di Iraq dan Syria, gerakan jihadisme kini kelihatan berbeza.
Sesetengah kumpulan, khususnya yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda, semakin menumpukan usaha mendapatkan kuasa di negara sendiri berbanding menyerang Barat atau memperjuangkan negara Islam global. Mereka juga dilihat lebih bersedia membuat kompromi.
Perubahan pendekatan itu mencetuskan perdebatan dalam gerakan jihad. Golongan garis keras menolak kompromi, manakala golongan pragmatik menganggap kerjasama dengan kumpulan tempatan dan bekas musuh boleh membantu mereka meraih kuasa.
Persoalannya, adakah golongan pragmatik benar-benar mengubah matlamat atau sekadar menukar taktik untuk mencapai cita-cita sama, iaitu membentuk negara yang menggunakan tafsiran ketat mereka terhadap undang-undang Syariah, termasuk dalam hubungan dengan dunia luar?
Al-Qaeda dan IS belum mencapai matlamat utama untuk menguasai satu atau lebih negara dan memerintah berdasarkan tafsiran ketat mereka terhadap Islam. Kedua-duanya mengalami kekalahan besar, kehilangan pemimpin dan berdepan tekanan antarabangsa selama bertahun-tahun.
IS, yang pernah menguasai kawasan luas di Iraq dan Syria, kehilangan kubu wilayah terakhirnya pada 2019. Namun, jihadisme tidak lenyap. Afrika kini menjadi medan utama, dengan cabang al-Qaeda JNIM di Sahel—Mali, Burkina Faso dan Niger—serta Al-Shabab di Somalia meneruskan pemberontakan berpanjangan.
IS pula mempunyai cabang aktif di Nigeria, Republik Demokratik Congo, Sahel, Mozambique dan Somalia.
Antara sumber inspirasi dan rasa iri hati sesetengah jihad ialah Presiden baharu Syria, Ahmed al-Sharaa. Bekas komander IS dan kemudian al-Qaeda itu pernah dikehendaki Amerika Syarikat, sebelum berkuasa di Syria pada Disember 2024 dan disambut pemimpin Barat.
Dahulunya dikenali dengan nama perang Abu Mohammed al-Jolani, beliau mengetuai Nusra Front, kumpulan yang pada awalnya dikaitkan dengan IS sebelum mempunyai hubungan dengan al-Qaeda. Beliau kemudian memimpin Hayat Tahrir al-Sham (HTS).
Sharaa memutuskan hubungan dengan IS dan al-Qaeda secara beransur-ansur serta menjauhkan diri daripada seruan jihad global. Sebaliknya, beliau membina asas kuasa tempatan di wilayah Idlib, barat laut Syria.
Beliau juga semakin bersedia bekerjasama dengan kumpulan bukan Islamis dan berhubung dengan kuasa asing. Ketika HTS mara ke Damsyik, kepimpinannya berusaha meyakinkan masyarakat antarabangsa, termasuk menghubungi Rusia, sekutu utama Presiden Bashar al-Assad ketika itu, bagi meredakan kebimbangan mengenai pengambilalihan oleh Islamis.
Pendekatan pragmatik itu, bersama keadaan geopolitik yang menguntungkan termasuk kelemahan Rusia dan Iran, membantu Sharaa meraih kuasa di Syria.
Sambutan pemimpin dunia terhadapnya, termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menjadi satu lagi perkembangan yang luar biasa. Ketika lawatan Sharaa ke Rumah Putih pada November 2025, Trump menyembur minyak wangi berjenamanya kepada beliau, bergurau bertanya jumlah isterinya dan memujinya sebagai “pemimpin yang sangat kuat”.
Kejayaan Sharaa memberi inspirasi kepada sesetengah jihad, tetapi pihak lain menganggap tindakannya sebagai pengkhianatan terhadap pegangan mereka. IS mengisytiharkan jihad terhadap kerajaan Islamis baharu Syria, melabel Sharaa dan pegawainya sebagai “murtad” serta melancarkan serangan terhadap pasukan kerajaan atas alasan itu.
Ulama garis keras lain mengambil pendirian serupa, namun tidak secara terbuka menyeru jihad terhadap Sharaa. Sejak 2025, perpecahan antara golongan garis keras dan pragmatik mencetuskan perdebatan sengit dalam talian, termasuk tuduhan saling mengkhianati dan penerbitan buku yang mempertahankan pendirian masing-masing.
Bagi golongan garis keras, kompromi boleh bermakna meninggalkan prinsip teras. Antaranya termasuk tidak melaksanakan tafsiran ketat undang-undang Islam, menerima undang-undang buatan manusia atau perlembagaan, menyertai pilihan raya, bekerjasama dengan kumpulan bukan Islamis atau menjalinkan hubungan dengan kerajaan yang dianggap “kafir”.
Kepulangan Taliban ke tampuk kuasa di Afghanistan pada 2021 turut menjadi inspirasi. Ia menunjukkan gerakan Islamis boleh menguasai negara selepas bertahun-tahun berperang dengan pasukan yang disokong Barat. Taliban bekerjasama dengan kumpulan tempatan, mengukuhkan kuasa secara beransur-ansur dan menggunakan diplomasi antarabangsa sebelum menawan Kabul dalam serangan pantas.
Dua kumpulan yang wajar diperhatikan ialah cabang al-Qaeda di Mali dan Somalia. Pada akhir April, JNIM menunjukkan sikap pragmatik apabila bergabung dengan pemisah nasionalis Tuareg—yang pernah diperanginya—untuk melancarkan serangan besar yang mengancam pemerintah tentera Mali. JNIM turut menyifatkan kumpulan Tuareg itu sebagai “saudara”.
Perhatian terhadap JNIM bukan hanya tertumpu pada kekuatan ketenteraannya, tetapi juga cara kumpulan itu mempersembahkan dirinya. Propagandanya sebelum ini menonjolkan pemimpin dan slogan al-Qaeda serta seruan jihad global. Namun, sejak akhir 2024, video JNIM tidak lagi menggunakan penjenamaan al-Qaeda yang lazim.
Sebaliknya, kumpulan itu semakin menumpukan isu tempatan dan menggambarkan dirinya sebagai pelindung rakyat daripada pemerintah yang korup dan menindas. JNIM berulang kali menuduh kerajaan tentera Mali dan sekutunya dari Rusia membunuh orang awam serta memburukkan kehidupan penduduk.
Pada April, JNIM menyeru “semua patriot yang ikhlas” membantu membina “Mali baharu”, dengan menjanjikan keselamatan, keadilan dan kemakmuran di samping undang-undang Islam. Kumpulan itu juga membayangkan kemungkinan menjalin “hubungan seimbang” dengan Rusia, meskipun pasukannya sedang memerangi tentera Rusia yang menyokong kerajaan Mali.
Pakar keselamatan Afrika, Aman Bezreh, melihat persamaan antara JNIM dengan HTS, tetapi berkata perubahan imej JNIM mungkin mengambil masa. “JNIM memang menunjukkan tanda-tanda pragmatisme yang serupa dengan HTS. Namun, penjenamaan semulanya bergerak lebih perlahan kerana kumpulan itu pada masa sama berusaha meluaskan wilayah dan merekrut daripada pelbagai kumpulan,” katanya.
Wartawan France 24 dan pakar jihadisme, Wassim Nasr, berkata perdebatan mengenai strategi turut berlaku dalam kepimpinan JNIM. Menurutnya, satu kumpulan menyokong pendekatan Taliban untuk meraih kuasa melalui kekuatan dengan konsesi minimum, manakala satu lagi—yang kini lebih berpengaruh—memilih pendekatan mirip HTS, iaitu membuat kompromi dan membina pakatan lebih luas.
Nasr berpendapat JNIM mungkin mengambil unsur daripada kedua-dua model, namun perubahan politiknya akhirnya akan membawa kepada perpecahan dengan al-Qaeda.
Al-Shabab juga kelihatan bersedia membuat perjanjian dengan bekas musuh. Pakar Somalia BBC Monitoring, Abdullahi Guji, berkata kumpulan itu mencapai gencatan senjata pada Oktober dengan suku Ma’awisley, yang sebelum ini menjadi antara barisan utama menentangnya.
Pejuang suku itu kemudian berundur dari barisan hadapan, sekali gus menjejaskan usaha kerajaan memerangi jihad. Guji berkata Al-Shabab mungkin tidak lama lagi berpeluang menguji kemampuannya merampas kuasa dan meletakkan dirinya sebagai pemerintah alternatif di kawasan lebih luas.
Pasukan Kesatuan Afrika sedang berundur dari Somalia berikutan pemotongan dana dan mandat mereka yang akan berakhir pada Disember. Pada masa sama, kerajaan Somalia berdepan krisis politik dan pemberontakan, keadaan yang menurut Guji boleh dieksploitasi Al-Shabab.
Sesetengah jihad juga mungkin melihat peluang untuk berkembang kerana menganggap kerajaan Barat mempunyai keutamaan lain. Perang di Ukraine, konflik Amerika Syarikat-Iran di Timur Tengah serta persaingan dengan China dan Rusia menjadikan usaha memerangi jihad tidak lagi menjadi keutamaan seperti selepas serangan 11 September.
Pengunduran Amerika Syarikat dari Afghanistan pada 2021 dan kepulangan Taliban ke tampuk kuasa, disusuli kebangkitan Sharaa di Syria, mengukuhkan tanggapan itu.
Pengarah eksekutif Soufan Center, Colin Clarke, berkata sesetengah kumpulan jihad mempelajari bahawa mengelakkan konfrontasi dengan Amerika Syarikat boleh membantu mereka terhindar daripada tindakan ketenteraan Barat dan “terus hidup untuk berjuang pada hari lain”.
Ini tidak bermakna Barat berhenti memerangi keganasan. Namun, jika kumpulan jihad menganggap Barat terganggu atau kurang bersedia campur tangan, mereka mungkin lebih berani mengejar kuasa.
Al-Qaeda sejak lama menunjukkan kelenturan tertentu dalam mengejar matlamatnya, berbeza daripada IS yang menolak kompromi. Namun, sejarah memberikan peringatan. Selepas kebangkitan Arab pada 2011 yang sebahagian besarnya mengetepikan al-Qaeda, kumpulan jihad berkaitan di Yaman, Libya dan Tunisia menggunakan nama Ansar al-Sharia, atau Penyokong Syariah, untuk mendapatkan sokongan tempatan tanpa membawa jenama al-Qaeda.
Di Mali pada 2012, pemimpin al-Qaeda menasihati jihad yang menawan utara bersama pemisah Tuareg supaya tidak tergesa-gesa mengenakan peraturan Islam yang ketat. Mereka disaran bekerjasama dengan sekutu tempatan, mengelak daripada menjauhkan masyarakat dan mengurangkan penonjolan hubungan dengan al-Qaeda.
Mesejnya bukan supaya mereka meninggalkan cita-cita, tetapi bersabar secara strategik sehingga masa yang sesuai. Pemikiran sama mungkin sedang berlaku hari ini.
Meskipun kumpulan seperti JNIM dan Al-Shabab mula menunjukkan pendekatan pragmatik, mereka belum semestinya meninggalkan impian untuk membentuk negara yang diperintah mengikut tafsiran ketat mereka terhadap undang-undang Islam.
Clarke mempersoalkan sama ada pendekatan itu merupakan “strategi kuda Trojan”—cara kumpulan jihad meraih kuasa tanpa mengetepikan matlamat jangka panjang.
“Persoalan besarnya ialah sama ada apabila berkuasa, kumpulan ini menjadi lebih sederhana, atau sekadar menukar taktik untuk terus hidup dan mengukuhkan kedudukan,” katanya.
IS kekal berpegang pada cita-cita globalnya dan menolak kompromi. Cabang al-Qaeda di Yaman, AQAP, pula terus menyeru serangan terhadap Amerika Syarikat dan Israel, serta menggesa serangan “serigala tunggal” terhadap sasaran Barat dan Yahudi.
Masih terlalu awal untuk menentukan sama ada JNIM dan Al-Shabab akan mengikut contoh Taliban atau Syria, atau sejauh mana mereka sanggup berkompromi. Sesetengah kumpulan mungkin semakin menumpukan politik tempatan apabila berdepan cabaran mentadbir, manakala yang lain mungkin menyembunyikan cita-cita lebih luas sehingga cukup kuat untuk melaksanakannya.
Impian jihadisme global mungkin gagal, namun gerakan itu masih jauh daripada berakhir.