Banjir lombong emas haram di Indonesia ragut 13 nyawa
Sekurang-kurangnya 13 pekerja maut manakala 13 lagi masih hilang selepas banjir melanda sebuah lombong emas tanpa permit di kawasan Pongkor, Bogor, wilayah Jawa Barat, Indonesia. Ketua pasukan mencari dan menyelamat tempatan, Desiana Kartika Bahari, mengesahkan jumlah korban itu dalam kenyataan pada Khamis.
Pasukan penyelamat berdepan air yang tinggi, keadaan gelap serta laluan sempit dan licin ketika mencari pekerja yang hilang. Seramai 325 anggota terlibat dalam operasi itu, menurut Desiana. Lubang penggalian di kawasan berkenaan dilaporkan sempit, kira-kira 100 meter dalam dan mempunyai pencahayaan yang minimum.
“Kedalaman lubang, akses yang sempit dan pencahayaan terhad menjadi pertimbangan utama dalam menentukan strategi pencarian supaya anggota dapat beroperasi dengan selamat,” kata Desiana. Beliau berkata semua usaha mengambil kira keadaan di lapangan serta mengutamakan keselamatan anggota yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.
Polis menerima laporan mengenai pelombong yang terperangkap pada Selasa, kira-kira 16 jam selepas banjir berlaku. Syarikat perlombongan milik kerajaan berhampiran, PT Antam, kemudian mengemukakan laporan rasmi kepada Agensi Mencari dan Menyelamat Jakarta sejurus selepas tengah malam pada Rabu, sekali gus mencetuskan operasi menyelamat berskala penuh.
Pihak berkuasa berkata mereka tidak dimaklumkan dengan segera kerana kegiatan perlombongan itu dilakukan secara haram. Pelombong dan penduduk setempat pada mulanya cuba mengepam air keluar dari kawasan tersebut sendiri, namun keadaan akhirnya tidak lagi dapat dikawal.
Jurucakap polis Jawa Barat, Hendra Rochmawan, berkata 11 pelombong sempat keluar dengan selamat sebelum air membanjiri lubang lombong pada Isnin. Kawasan Pongkor terletak di kawasan pergunungan, kira-kira 60 kilometer ke selatan Jakarta, dan menjadi lokasi operasi perlombongan emas Antam.
Kegiatan perlombongan berskala kecil dan tanpa permit sering mengakibatkan kemalangan di Indonesia yang kaya dengan sumber mineral. Sumber itu banyak terdapat di kawasan terpencil yang sukar dikawal pihak berkuasa.