Kes Ebola di Congo melebihi 12,000 ketika pertempuran ganggu usaha kawalan

Sumber: Al Jazeera

KINSHASA: Kes Ebola yang disahkan di Republik Demokratik Congo (DRC) melebihi 12,000 ketika pertempuran semakin sengit di bahagian timur negara itu mengganggu usaha membendung wabak paling dahsyat dalam sejarah negara berkenaan.

Data kerajaan yang dikeluarkan pada Khamis menunjukkan sekurang-kurangnya 12,021 jangkitan disahkan, termasuk 5,904 kematian. Pekerja yang terlibat dalam tindak balas Ebola terpaksa meninggalkan kawasan terjejas susulan keganasan yang semakin buruk, menurut pegawai kesihatan dan pekerja kemanusiaan pada Rabu.

Pertempuran di wilayah Ituri meningkat sejak beberapa hari lalu antara tentera Congo dengan anggota Convention for the Popular Revolution (CRP), menyebabkan orang awam kehilangan tempat tinggal, menurut kenyataan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pengurus insiden Ebola Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Catherine Smallwood, berkata kira-kira 12 orang, termasuk dua kakitangan WHO dan pegawai kesihatan Congo, dipindahkan ke Bunia selepas terkandas selama tiga hari di sebuah hospital di Akwe, timur laut ibu kota wilayah itu.

Beliau berkata mereka berdepan tembakan silang yang sengit sebelum berjaya dipindahkan. Kumpulan itu berada dalam keadaan terkepung ketika pertempuran berlaku, kata Smallwood.

CRP diketuai Thomas Lubanga, yang disabitkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 2012 kerana merekrut askar kanak-kanak. Kumpulan itu mengisytiharkan gencatan senjata unilateral pada Mei, namun pertempuran masih berterusan. Ia antara lebih 100 kumpulan bersenjata di timur DRC, kawasan yang konflik berpanjangan menjejaskan usaha mengawal wabak tersebut.

Wabak yang berpunca daripada spesies virus Ebola Bundibugyo yang jarang berlaku itu diisytiharkan pada pertengahan Mei di wilayah Ituri. Tiada rawatan atau vaksin yang diluluskan untuk spesies berkenaan. Pengesanan lewat, konflik dan perkhidmatan kesihatan yang terbeban mempercepat penularan, dengan kes dilaporkan di lapan daripada 26 wilayah DRC.

Sandrine Buju, pekerja kemanusiaan yang terbabit dalam usaha tindak balas Ebola, berkata pasukannya diserang tembakan pada Isnin ketika dalam perjalanan pulang ke Bunia selepas melatih sukarelawan komuniti.

“Kami terkejut apabila terdengar tembakan kira-kira 15 meter dari tempat kami berada. Saya sangat takut,” katanya kepada agensi berita Associated Press.

Menurut Buju, pemandu mereka segera berpatah balik dan pasukan itu berlindung di sebuah pangkalan pengaman PBB. Pasukan pengaman kemudian mengiringi mereka melalui dua kawasan pertempuran menuju ke Bunia.