Guinea arah penduduk bersihkan Conakry sebelum 31 Disember

CONAKRY: Guinea mengarahkan penduduk membersihkan ibu kotanya, Conakry, dan kawasan pinggir bandar menjelang 31 Disember, beberapa bulan selepas runtuhan tapak pelupusan sampah mengorbankan 31 orang.
Perdana Menteri Amadou Oury Bah mengumumkan tarikh akhir itu pada Rabu susulan peningkatan kegiatan pembuangan sampah haram di bandar berkenaan sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Beliau menyeru pihak berkuasa tempatan supaya memainkan peranan lebih aktif dalam mengatur kutipan sampah, yang menurutnya juga berpotensi menyediakan pekerjaan.
“Negara akan melaksanakan bahagiannya, tetapi pihak perbandaran juga mesti mengatur diri bagi memastikan kutipan sampah dan menyediakan pekerjaan untuk golongan muda,” katanya.
Beliau berkata Conakry mesti dibersihkan sepenuhnya menjelang penghujung Disember, sambil menyampaikan arahan Presiden Mamady Doumbouya. Antara langkah yang sedang diambil kerajaan ialah penubuhan dana sanitasi nasional bagi menjamin pembiayaan sektor itu.
Pada Ogos, hujan lebat mencetuskan tanah runtuh di tapak pelupusan sampah utama ibu kota di kawasan Dar es Salaam. Sampah runtuh menimpa rumah, mengorbankan 31 orang dan mencederakan beberapa yang lain.
Tapak itu kemudian ditutup secara kekal. Sejak itu, timbunan sampah dilaporkan terkumpul di luar rumah dan di jalan raya. Menteri Sanitasi Aboubacar Camara berkata Conakry menghasilkan kira-kira 3,000 tan sampah sehari, dengan sebahagian besarnya berakhir di jalanan akibat kelemahan sistem kutipan.
Camara berkata rundingan dengan sebuah pengendali kutipan sampah sudah dimuktamadkan. Di bawah rancangan itu, peralatan akan digunakan untuk memindahkan sampah dari pusat transit dan pengasingan ke tapak pelupusan baharu di Baretodé, di luar ibu kota.
Runtuhan pada Ogos itu bukan kejadian pertama di tapak berkenaan. Seramai 10 orang terbunuh di lokasi sama pada 2017. Kerajaan pernah mengarahkan penduduk yang tinggal berhampiran supaya berpindah, namun ramai memilih untuk terus menetap di situ.
Menurut Bah, kerajaan kini merancang mengubah tapak pelupusan yang ditutup itu menjadi taman bandar.