Harga petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 25 sen mulai esok, MOF
SHAH ALAM - Harga runcit petrol tanpa subsidi RON97, RON95 dan diesel masing-masing turun 25 sen seliter bagi tempoh 26 November hingga 2 Disember 2026, menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF). Berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), RON97 dilapor turun kepada RM3.75 seliter daripada RM4 sebelumnya, manakala RON95 tanpa subsidi turun kepada RM3.47 seliter daripada RM3.72. Diesel tanpa subsidi juga berkurangan kepada RM4.47 seliter berbanding RM4.72 sebelum ini.
Kenyataan MOF menyatakan harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau menunjukkan penyederhanaan dalam tempoh pengiraan APM, termasuk bagi petrol dan diesel. Perkembangan ini dipercayai mencerminkan tekanan harga yang semakin berkurangan dalam pasaran petroleum antarabangsa, namun bekalan produk petroleum bertapis tetap menghadapi beberapa kekangan di pasaran tertentu. Ketidaktentuan geopolitik dan risiko gangguan penghantaran petroleum disebut boleh menjejaskan bekalan global, katanya.
MOF turut menegaskan prospek peningkatan bekalan minyak mentah global turut mempengaruhi penyusutan harga minyak dunia, meskipun bekalan produk petroleum bertapis masih terjejas di beberapa pasaran. Dalam konteks ini, harga petroleum dunia dijangka terus mengalami turun naik dalam tempoh terdekat, selaras dengan faktor geopolitik dan pasaran global yang sentiasa berubah.
Sehubungan itu, kerajaan menegaskan komited melindungi rakyat dan sektor perniagaan melalui pelaksanaan subsidi bahan api bersasar Budi Madani. Peruntukan hampir RM40 bilion disediakan bagi subsidi bahan api tahun depan untuk membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup. Melalui program BUDI95, penerima layak terus menikmati harga RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM3.47 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.48 bagi setiap liter, iaitu 43 peratus daripada harga tanpa subsidi.
Bagi BUDI Diesel pula, penerima layak membayar RM2.10 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.47 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.37 seliter atau 53 peratus daripada harga tanpa subsidi. Menurut MOF, melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat yang layak boleh membeli petrol RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan. Kerajaan Madani sekali lagi menegaskan pendekatan berhemah dalam melindungi rakyat daripada turun naik harga sambil memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.