SPRM panggil pembantu Hannah Yeoh berhubung pajakan KLSCAH

PETALING JAYA: Seorang pembantu Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh dilaporkan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung pajakan 99 tahun Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH). Menurut laporan Sin Chew, pembantu itu akan memberi keterangan kepada penyiasat esok.
Tiada butiran lanjut mengenai perkara itu didedahkan. Sumber SPRM yang dihubungi berkata kenyataan akan dikeluarkan esok pagi. Free Malaysia Today turut menghubungi Yeoh untuk mendapatkan ulasan.
Pada 14 Nov, Yeoh mengumumkan kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan 99 tahun KLSCAH dengan premium tanah nominal RM1,000. Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding anggaran premium terdahulu yang hampir mencecah RM4.67 juta.
Keputusan itu mencetuskan kontroversi. Yeoh berkata KLSCAH secara sukarela menukar status tanah berkenaan kepada tanah institusi, yang bermakna ia tidak boleh digunakan untuk pembangunan besar pada masa depan.
Beliau turut berkata dewan perhimpunan berusia 103 tahun itu diwartakan sebagai bangunan warisan pada 2007 dan menanggung defisit operasi tahunan kira-kira RM400,000.
Menurut Yeoh, keputusan pajakan dibuat oleh jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara. Tujuh organisasi lain di Kuala Lumpur juga menerima premium nominal bagi pajakan 99 tahun yang serupa, termasuk Yayasan Tuanku Bainun, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Persatuan Badminton Malaysia.