Guru berdepan dua pertuduhan amang seksual terhadap pelajar Tingkatan Tiga
SEREMBAN - Seorang guru di sebuah sekolah menengah di Jelebu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga, Ogos lalu. Tertuduh, Muhammad Faaris Ar Radhi Mohamad Fadzil, 29, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Pertuduhan pertama mendakwa tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun lapan bulan, sementara tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai guru kepada pelajar berkenaan. Kesalahan didakwa berlaku di bilik guru sekolah terbabit antara jam 10 malam hingga 10.30 malam pada 17 Ogos lalu, dan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 16(1) akta sama. Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 14, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.
Pertuduhan kedua mendakwa tertuduh melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa dengan menunjukkan video berunsur seksual menerusi media sosial menggunakan telefon bimbit di lokasi yang sama. Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 15(e) akta sama dan Seksyen 16(1) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 15(e). Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh turut berdepan hukuman tambahan mengikut Seksyen 16 iaitu penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada dua kali.
Timbalan Pendakwa Raya, Noraziah Asmuni, menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai, tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya merupakan penjawat awam berpendapatan RM2,500 serta hadir ke mahkamah dengan jaminan polis; isteri tertuduh turut hadir sebagai penjamin. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Disember depan.