Guardiola mahu cabaran seterusnya bersama pasukan kebangsaan

Sumber: Harian Metro
Guardiola mahu cabaran seterusnya bersama pasukan kebangsaan
Gambar: Harian Metro

LONDON: Bekas pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata tugas kejurulatihan seterusnya yang ingin diceburinya ialah bersama pasukan kebangsaan, selepas menolak peluang membimbing Itali tahun ini.

Guardiola berkata beliau pernah mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), namun tawaran itu hadir ketika beliau merasakan perlu berehat daripada dunia kejurulatihan. Beliau berkongsi perkara itu dalam temu bual bersama bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Romario.

“Saya berbincang dengan mereka dan ia satu penghormatan,” katanya. Guardiola menyifatkan pertimbangan FIGC terhadap dirinya untuk melatih Itali sebagai antara penghormatan terbesar yang pernah diterimanya.

Beliau berkata peluang itu mungkin diterima sekiranya datang setahun atau dua tahun lebih awal. Namun, ketika Paolo Maldini dan Leonardo menghubunginya, beliau merasakan dirinya benar-benar perlu berehat.

Guardiola meninggalkan City pada penghujung musim lalu selepas hampir sedekad mengendalikan kelab itu. Sepanjang tempoh tersebut, beliau memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), termasuk empat kali berturut-turut, selain tiga Piala FA, lima Piala Liga dan Liga Juara-Juara.

Jurulatih dari Sepanyol itu berkata tuntutan mengendalikan kelab selama hampir dua dekad mendorongnya mengambil masa untuk berehat. Beliau belum tahu berapa lama tempoh itu akan berlangsung, namun berkata keadaannya kini sangat baik.

“Jika suatu hari nanti saya kembali ke bola sepak, ia akan berlaku apabila hati saya memberitahu bahawa sudah tiba masanya,” katanya.