Grand Final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 di Akademi Sepaktakraw Malaysia – lebih daripada perebutan juara

Kuala Lumpur: Pengurus bersama Liga Takraw Nasional Mekdi 2026, Harian Metro, telah bersedia sepenuhnya bagi memastikan kemuncak kejohanan itu berlangsung meriah apabila Grand Final dijadualkan di Akademi Sepaktakraw Malaysia pada Sabtu dan Ahad ini. Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit, berkata persiapan dari sudut penganjuran telah dilakukan sebaik mungkin bagi memastikan saingan yang menghimpunkan 16 pasukan terbaik daripada Zon Utara, Tengah-Selatan dan Timur itu berjalan lancar.
Beliau turut menekankan harapan agar semua pasukan yang layak ke Grand Final memberikan persiapan terbaik serta menjaga tahap kesihatan dan kecergasan sebelum turun beraksi memburu gelaran juara. “Kita di pihak penganjur memang sudah bersedia sebaik mungkin untuk ke peringkat seterusnya iaitu Grand Final yang akan berlangsung di Akademi Sepaktakraw Malaysia (Sabtu dan Ahad ini). Apa yang saya sarankan kepada semua peserta adalah supaya membuat persiapan secukupnya, menjaga kesihatan dan menjalani latihan bagi menghadapi pentas final ini,” katanya.
Dalam masa sama, Husain berharap Grand Final kali ini mampu mendapat sokongan padu peminat apabila keluarga pemain dan penyokong sepak takraw diharap hadir beramai-ramai ke Akademi Sepaktakraw Malaysia bagi menyaksikan aksi pasukan pilihan masing-masing. Menurutnya, kehadiran penonton bukan sahaja memeriahkan suasana pertandingan, malah menjadi suntikan semangat kepada pemain untuk mempamerkan aksi terbaik.
Selain itu, Husain turut mengulas mengenai penganjuran Klinik Sepak Takraw yang turut diadakan sempena Grand Final itu. Katanya, sambutan diterima amat memberangsangkan apabila kuota 100 peserta dipenuhi sebelum tarikh tutup pendaftaran. Klinik berkenaan memberi peluang kepada peserta, terutama golongan muda, untuk menimba ilmu secara langsung daripada pemain dan jurulatih kebangsaan yang menjadi idola mereka.
“Jadi, saya berharap peserta dapat mengambil sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman daripada pemain kebangsaan yang terbabit,” katanya. Beliau menambah penganjuran klinik itu juga mampu menjadi platform untuk menyemarakkan minat generasi muda terhadap sepak takraw, selain membuka peluang kepada mereka mempelajari teknik dan kemahiran permainan daripada individu berpengalaman. Husain berharap gabungan aksi kompetitif di gelanggang dan program pembangunan bakat menerusi klinik berkenaan dapat menjadikan Grand Final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 bukan sekadar pentas perebutan kejuaraan, tetapi juga menyumbang kepada perkembangan sukan sepak takraw negara.