Tindakan tegas terhadap rakyat Malaysia bantu warga asing berniaga tanpa izin

Sumber: Free Malaysia Today
Tindakan tegas terhadap rakyat Malaysia bantu warga asing berniaga tanpa izin
Gambar: Free Malaysia Today

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap rakyat Malaysia yang membantu warga asing melakukan kesalahan di negara ini, termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen atau kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan turut dikenakan terhadap rakyat Malaysia yang membenarkan kegiatan sedemikian berlaku di tanah atau premis milik mereka.

Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mengenai pendirian rasmi kerajaan berhubung larangan kemasukan pelarian ke negara ini. Syed Saddiq turut bertanya langkah seterusnya Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) apabila pengurusan pelarian diserahkan sepenuhnya kepada Putrajaya.

Zahid berkata kerajaan akan meneruskan pemindahan pemegang kad UNHCR ke negara ketiga bagi melaksanakan tanggungjawab memelihara hak asasi manusia. Namun, katanya, pemindahan itu bergantung sepenuhnya pada negara penerima, termasuk syarat yang ditetapkan serta jumlah pemegang kad UNHCR yang sanggup diterima pada sesuatu masa.

UNHCR menghentikan pendaftaran dan pendokumentasian pelarian di Malaysia selepas Putrajaya memutuskan untuk membangunkan sistem sendiri bagi mengurus pencari suaka. Agensi itu menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan dan terus terlibat dalam pelan hala tuju peralihan bagi memastikan perlindungan pelarian berterusan.