Golongan bapa perlu diberi ruang secukupnya untuk jaga bayi, isteri bersalin

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa mempertimbang pindaan dasar cuti paterniti daripada tujuh hari kepada 14 hari bagi memberi ruang lebih mencukupi kepada golongan bapa untuk bersama isteri dan anak, khususnya dalam tempoh awal selepas kelahiran. Cadangan itu dibangkitkan oleh Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez, sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekosistem sokongan kepada pasangan muda yang sedang membina keluarga.
Katanya, pembentukan keluarga bukan tanggungjawab seorang ibu sahaja dan ia sesuatu yang diketahui umum. "Kehadiran dan penglibatan bapa sejak hari pertama kelahiran amat penting dalam membantu penjagaan bayi, menyokong pemulihan ibu serta menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu sebagai ibu bapa. "Kita perlu melihat cuti paterniti bukan sekadar satu bentuk kemudahan pekerjaan, tetapi sebagai pelaburan sosial untuk membina keluarga yang lebih seimbang dan berkualiti," katanya ketika membahaskan Usul Sokongan Keluarga Muda dalam Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), hari ini.
Beliau berkata, tempoh tujuh hari mungkin tidak mencukupi bagi sesetengah keluarga untuk melalui fasa penyesuaian selepas kelahiran anak. Justeru, MBM berpandangan bahawa peluasan kepada 14 hari wajar dipertimbangkan melalui penelitian dasar dan libat urus bersama pihak berkepentingan, termasuk majikan, pekerja dan agensi kerajaan. "Pada masa sama, usul Sokongan Keluarga Muda turut mengetengahkan keperluan membantu pasangan muda memiliki rumah pertama serta memperkukuh program kesihatan mental dan kesejahteraan ibu bapa muda. Namun, mesej utama yang ingin saya tekankan ialah jangan meletakkan seluruh beban penjagaan anak di bahu seorang ibu. Bapa juga perlu diberikan masa dan ruang untuk memainkan peranan sepenuhnya," katanya.
Justeru, katanya, MBM berharap cadangan ini diberikan perhatian serius oleh kerajaan kerana dasar yang mesra keluarga bukan sahaja membantu ibu bapa hari ini, malah membentuk generasi masa depan yang lebih sejahtera. "Kita mahu anak muda berani membina keluarga. Maka, kerajaan juga perlu memastikan mereka mendapat sokongan yang sewajarnya," katanya.