George Kent kembali mencatat keuntungan pada separuh pertama FY27

KUALA LUMPUR: George Kent (Malaysia) Bhd kembali mencatat keuntungan bersih RM632,000 bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2026 (FY27), berbanding kerugian bersih RM7.16 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan bagi enam bulan itu meningkat 0.8 peratus kepada RM86.72 juta daripada RM86.02 juta. George Kent berkata prestasi berkenaan disokong sumbangan berterusan daripada bahagian penyelesaian teknologi pintar (ITS) serta peningkatan hasil daripada bahagian pembinaan infrastruktur. Kumpulan itu turut mengumumkan dividen interim 0.75 sen sesaham bagi FY27, sama seperti tempoh sepadan tahun lalu.
Bagaimanapun, bagi suku kedua FY27, keuntungan bersih kumpulan merosot 62.3 peratus kepada RM353,000 daripada RM937,000 setahun sebelumnya. Hasil suku tahunan susut 1.9 peratus kepada RM47.44 juta berbanding RM48.38 juta, manakala pendapatan sesaham turun kepada 0.07 sen daripada 0.18 sen.
Pengerusi eksekutif Tan Sri Tan Kay Hock berkata penyertaan Techkem memperluas portfolio kejuruteraan kumpulan, khususnya keupayaan teknikal dalam rawatan air dan air sisa. Beliau berkata penggabungan kepakaran itu dengan operasi sedia ada membolehkan kumpulan menyertai tender bagi rawatan air sisa industri dan penggunaan semula air, selain meneruskan perniagaan infrastruktur air dan landasan kereta api.