Sarawak rancang jeti kapal persiaran di Tanjung Sipang
KUCHING, 25 Nov (Bernama) -- Sarawak merancang membina jeti kapal persiaran yang dilengkapi kemudahan imigresen dan kastam di Tanjung Sipang, tanjung di hujung utara Semenanjung Santubong berhampiran Damai, kira-kira 30 kilometer dari sini.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jeti itu dijangka memudahkan urusan kemasukan penumpang kapal persiaran dan berpotensi menarik lebih ramai pelawat antarabangsa ke Kuching serta destinasi berhampiran, termasuk Damai.
Menurut beliau, jeti itu dirancang dibina di perairan sedalam 16 meter berhampiran Taman Negara Santubong. Langkah itu mengambil kira keadaan kebanyakan kawasan Sungai Santubong yang cetek dan tidak sesuai untuk kapal persiaran.
Kerajaan negeri juga merancang membina jalan raya yang menghubungkan lokasi jeti dengan Damai. Abang Johari berkata, pembinaan jalan itu akan menelan belanja lebih rendah berbanding kerja mengorek dasar sungai, yang menurutnya memerlukan kos sangat tinggi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Sarawakku Sayang di Kuching hari ini. Abang Johari turut memaklumkan bahawa Royal Caribbean International telah menghantar satu pasukan dari Singapura untuk menilai sama ada kapal persiaran syarikat itu boleh singgah di Kuching sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seperti Bali dan Kota Kinabalu.
Sarawak turut merancang menaik taraf jalan raya di kawasan berkenaan supaya dapat menampung trafik dua hala. Usaha itu bertujuan menambah baik akses dan menyokong pembangunan sistem Autonomous Rapid Transit (ART).
Dalam ucapannya sebelum itu, Abang Johari berkata beberapa projek yang dirancang dijangka mengubah landskap Lundu, Samariang dan Damai, selain kawasan lain. Rancangan bagi Trombol dan kawasan sekitarnya merangkumi penyediaan infrastruktur moden, manakala sebuah muzium Cina dan muzium emas akan dibina di Bau.
Beliau berkata Jambatan Rambungan dijangka siap tahun depan dan akan menghubungkan Lundu dengan Kuching.