RTM siar episod khas Dialog Negara bersama Perdana Menteri esok
KUALA LUMPUR, 24 Nov — Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan episod khas program Dialog Negara yang menampilkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu utama pada 9 malam esok menerusi TV1 dan aplikasi RTMKlik.
Jabatan Penyiaran Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan program berdurasi 60 minit itu bertemakan “Behind the Decisions”. Siaran berkenaan turut disiarkan serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.
Episod khas itu menyediakan ruang perbincangan lebih mendalam mengenai pertimbangan, cabaran dan rasional di sebalik keputusan utama kerajaan dalam usaha memperkukuh pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurut kenyataan itu, Dialog Negara kali ini menggunakan pendekatan dialog terbuka, berbeza daripada format temu bual konvensional. Perbincangan akan menghimpunkan Perdana Menteri, pengacara, panel pakar daripada pelbagai industri dan penonton di studio.
Empat dimensi utama akan dibincangkan, iaitu “Behind a Decision”, “Behind Reforms and Change”, “Behind the People's Hopes” dan “Behind Malaysia's Future”.
Jabatan itu berkata pendekatan berkenaan membolehkan penonton memahami bukan sahaja keputusan yang dilaksanakan, malah proses pertimbangan, cabaran pelaksanaan serta kesannya terhadap masyarakat.
Program itu turut menampilkan interaksi dengan tokoh dan wakil daripada pelbagai sektor, termasuk ekonomi, keusahawanan, kesihatan, pendidikan, pertanian dan tadbir urus, serta bidang berkaitan. Penglibatan mereka dijangka memperluas sudut pandang dalam perbincangan.
Penganjuran Dialog Negara selaras dengan komitmen RTM sebagai penyiar awam untuk memperkasa budaya wacana yang matang, berasaskan fakta dan inklusif, menurut Jabatan Penyiaran Malaysia. Program itu juga berperanan sebagai jambatan antara rakyat dengan pembuat dasar.