Dasar Buku Negara dilancar dengan sembilan teras utama

Sumber: Bernama English

KUALA LUMPUR, 24 Nov — Dasar Buku Negara dilancarkan hari ini dengan sembilan teras utama bagi mengukuhkan budaya membaca masyarakat serta memperkasa ekosistem industri buku negara secara menyeluruh dan mampan.

Sembilan teras itu merangkumi budaya membaca, pendigitalan, literasi undang-undang dan hak cipta, penterjemahan profesional serta pembangunan profesionalisme. Turut diberi tumpuan ialah pusat sehenti buku negara, ekonomi buku baharu, insentif dan ekosistem buku inklusif yang mesra orang kurang upaya.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata dasar itu ialah langkah strategik untuk memperdalam budaya membaca dan meningkatkan kedaulatan intelektual Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata Malaysia perlu melihat melangkaui pasaran domestik, membina kedudukan sebagai rakan dagang hak cipta dan meningkatkan keupayaan penerbit tempatan menembusi pasaran global.

“Kita mahu buku Malaysia diterbitkan di luar negara, menemui pembaca baharu dan mendapat tempat di pasaran dunia… kita mahu karya Malaysia merentasi sempadan, membawa suara dan pemikiran negara ke tengah masyarakat global,” katanya.

Fadhlina berkata kejayaan dasar itu tidak seharusnya dinilai berdasarkan dokumen semata-mata, sebaliknya melalui perubahan yang dibawa kepada masyarakat, peluang yang dibuka kepada pengkarya serta kemajuan seluruh rantaian industri buku negara.

Rantaian itu, katanya, melibatkan penulis, editor, penterjemah dan penerbit kecil. Beliau turut menegaskan perlunya perlindungan hak cipta diperkukuh dan kebajikan pengkarya serta penterjemah dijaga, termasuk memastikan pulangan setimpal dengan kepakaran mereka.

Fadhlina juga menyuarakan kebimbangan terhadap trend membaca semasa, apabila golongan muda cenderung membaca secara tergesa-gesa dan menjadi generasi yang hanya menatal tanpa mendalami pemikiran.

“Kita tidak pernah kekurangan akses kepada buku… tetapi apa yang perlu kita mulakan sekarang ialah gerakan untuk membaca dengan serius,” katanya.

Dasar itu diluluskan Jemaah Menteri pada 5 Ogos dan menambah baik serta menjenamakan semula Dasar Buku Negara 1985, yang diluluskan pada 27 Nov 1985.

Perumusannya mengambil kira perubahan landskap buku global, khususnya perkembangan teknologi digital, keperluan pembangunan modal insan dan pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan. Dasar itu selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara membaca di bawah Matlamat Pembangunan Mampan 4.