Anwar mahu lebih banyak program wacana pupuk dialog matang dan terbuka
KUALA LUMPUR, 25 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap lebih banyak program berasaskan wacana dianjurkan bagi memberi pencerahan, menjelaskan kekeliruan, mencetuskan pertukaran idea serta membina budaya dialog yang matang dan terbuka.
Beliau berkata kematangan demokrasi sesebuah negara turut dinilai berdasarkan kesediaan pemimpinnya mendengar, memberi maklum balas dan menerima pandangan rakyat dengan rendah hati serta penuh tanggungjawab.
Dalam hantaran di Facebook malam ini, Anwar berkata beliau berpeluang menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan moderator dan panel mewakili pelbagai segmen masyarakat dalam program Dialog Khas Nasional: “Di Sebalik Keputusan…”. Program itu disiarkan menerusi saluran media tempatan.
Menurut beliau, platform berkenaan memberi ruang untuk menjelaskan dasar, pertimbangan dan keputusan Kerajaan MADANI dalam menerajui negara. Pada masa sama, beliau berkata sesi itu membolehkan beliau memahami kebimbangan, harapan dan aspirasi rakyat.
Program Dialog Khas Nasional: “Di Sebalik Keputusan…” disiarkan menerusi RTM dan saluran media tempatan pada pukul 9 malam ini. Panel yang mewakili pelbagai segmen masyarakat mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri mengenai dasar, pertimbangan dan keputusan kerajaan.
Antara perkara yang disentuh ialah jaminan hak penduduk asal dalam pembangunan semula bandar, perkhidmatan kesihatan awam dan pendidikan kesihatan mental di sekolah. Cadangan untuk menubuhkan dana kekayaan berasaskan kecerdasan buatan (AI) turut dibincangkan.
Sesi itu turut menyentuh usaha membanteras rasuah, kebebasan bersuara mahasiswa universiti, penempatan penjawat awam serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).