Dana Inovasi Media 2.0 terima 40 permohonan fasa pertama
PETALING JAYA, 25 Nov — Sebanyak 40 permohonan diterima bagi fasa pertama Dana Inovasi Media 2.0 yang dibuka dari 1 hingga 14 Nov, dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata Kementerian Komunikasi akan meneliti permohonan berkenaan dan bersedia membuka pusingan kedua sekiranya masih terdapat baki peruntukan yang belum digunakan.
Bagi Dana Inovasi Media 1.0, yang turut menyediakan peruntukan RM30 juta, seramai 72 syarikat media menerima pembiayaan menerusi lima fasa permohonan. Daripada jumlah itu, lima syarikat dan organisasi media berbahasa Tamil turut mendapat manfaat, termasuk Vanakkam Malaysia.
“Saya sangat gembira dan bangga kerana lima syarikat dan organisasi media berbahasa Tamil, termasuk Vanakkam Malaysia, mendapat manfaat daripada dana itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Filem Pendek Vanakkam Maxx 2026, di sini hari ini.
Teo turut mengingatkan penggiat industri kreatif supaya memanfaatkan peluang memohon Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Dana itu menyediakan peruntukan RM15 juta menerusi enam kategori pembiayaan.
Permohonan DKK dibuka pada 16 Nov dan akan ditutup pada 21 Dis. Permohonan perlu dibuat melalui Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) menerusi portal sppik.finas.my.
Mengulas pertandingan filem pendek berbahasa Tamil, Teo memuji penganjuran yang menerima lebih 80 penyertaan. Sebanyak 10 projek terbaik dipilih untuk ke pusingan akhir, dengan hadiah bernilai RM22,500 serta peluang menyertai produksi Vanakkam Maxx untuk dipertandingkan.
Beliau berkata penghasilan filem pendek berdurasi kurang 20 minit sering menjadi langkah awal penting bagi pembikin filem baharu sebelum mereka beralih kepada penerbitan filem cereka. Pencapaian terkini pembikin filem Tamil tempatan di Festival Filem Malaysia ke-35 dan Anugerah Golden Horse ke-63 di Taiwan, katanya, turut membuktikan potensi besar produksi tempatan.
Deka, terbitan VIP Viewers, muncul juara pertandingan itu dan membawa pulang wang tunai RM10,000 serta trofi. Paranoia terbitan Infinova Pictures mendapat tempat kedua, dengan hadiah RM6,000 dan trofi, manakala Naanga Naalu Per di tempat ketiga, menerima RM4,000 dan trofi.