LEKAS Highway ditutup sementara 28-29 Nov untuk RHB LEKAS Highway Ride 2026
Keseluruhan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) akan ditutup sementara kepada trafik dari 6 petang Sabtu, 28 November sehingga 4.30 pagi keesokan hari berikutan penyertaan dalam edisi ke-11 RHB LEKAS Highway Ride 2026, menurut kenyataan LEKAS yang dikeluarkan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (LEKAS), Chua Lay Hoon, penutupan melibatkan sembilan persimpangan bertingkat dan 20 simpang masuk dan keluar yang terletak dari Persimpangan Kajang Selatan hingga Persimpangan Paroi bagi memastikan keselamatan peserta. Beliau berkata LEKAS telah memperoleh sokongan serta kelulusan daripada Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan dalam memfasilitasi acara berbasikal itu.
“Kolaborasi berterusan ini mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan penganjuran acara ini selamat melalui koordinasi yang berkesan, sambil memupuk gaya hidup aktif dan sihat dalam komuniti,” tambahnya.
Ketika penutupan berkuat kuasa, pengguna jalan raya dari utara (Kuala Lumpur, Cheras dan Kajang) serta selatan (Seremban, Senawang dan Kuala Pilah) dinasihatkan menggunakan Laluan Persekutuan 1 atau Lebuhraya PLUS sebagai alternatif untuk mencapai destinasi masing-masing. Pengguna juga dinasihatkan mematuhi papan tanda lalu lintas dan arahan petugas trafik sepanjang tempoh penutupan.
Maklumat lanjut atau bantuan boleh didapati melalui talian infoline LEKAS 24 jam di 1-800-88-8021 atau merujuk kepada saluran media sosial rasmi mereka di X (@LEKAStrafik), Facebook (LEKAS Highway) dan Instagram (lekashighway).