JPS sasar tutup benteng pecah di Bukit Changgang dalam 24 jam
SHAH ALAM, 25 Nov — Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang berusaha menutup bahagian benteng yang pecah di kawasan Projek Tebatan Banjir Bukit Changgang, Kuala Langat, dalam tempoh 24 jam, tertakluk kepada keadaan cuaca.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata dua pam bergerak turut ditempatkan di kawasan terjejas bagi mempercepatkan aliran keluar air banjir. Pam itu beroperasi sebagai tambahan kepada pam tetap sedia ada.
Beliau berkata demikian selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang, Kuala Langat, petang tadi. Amirudin berkata beliau bertemu penduduk yang terjejas dan menerima taklimat terkini daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Langat (JPBD) serta JPS.
Amirudin turut meninjau lokasi benteng yang pecah untuk melihat keadaan semasa dan kerja-kerja pemulihan yang sedang dijalankan. Katanya, banjir pagi tadi berpunca daripada benteng pecah susulan aliran air luar biasa deras dari Hulu Langat dan Sepang, selain fenomena air pasang besar.
Kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau keadaan dan mengambil langkah sewajarnya untuk menangani situasi itu, katanya. Beliau berkata keselamatan dan kebajikan penduduk yang terjejas kekal sebagai keutamaan.
Setakat petang ini, dua PPS beroperasi di daerah Kuala Langat. PPS di SK RTB Bukit Changgang menempatkan 147 orang, manakala PPS di Balai Raya Kampung Sungai Kelambu menempatkan 16 orang.
Daerah Sepang turut dilanda banjir, dengan tiga PPS mula beroperasi hari ini. Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali menempatkan 122 orang, Dewan Orang Ramai Dengkil menempatkan 49 orang dan Dewan Orang Ramai Taman Gemilang menempatkan 15 orang.
Sementara itu, empat PPS masih beroperasi di Kuala Selangor. Seramai 313 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela, 158 di Sekolah Rendah Agama (SRA) Pasangan, 108 di Sekolah Agama Batu 8 Ijok dan 30 di Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah.