Fadhlina mahu isu anemia dan bantut dalam kalangan pelajar diberi perhatian
BATU KAWAN, 25 Nov (Bernama) -- Status pemakanan pelajar, termasuk di peringkat sekolah menengah, perlu diberi perhatian susulan kebimbangan terhadap masalah kesihatan seperti anemia dan bantut dalam kalangan kanak-kanak serta remaja, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Beliau berkata pelbagai program sokongan pemakanan telah dilaksanakan di peringkat prasekolah dan sekolah rendah, namun pelajar sekolah menengah turut berdepan cabaran pemakanan yang sama.
“Melihat ke hadapan, akan ada isu kesihatan yang lebih membimbangkan. Pertama, anemia dan kedua, bantut, yang masih berlaku dalam kalangan anak-anak kita. Sebab itu, tumpuan pemakanan kita pada masa ini berpusat di peringkat prasekolah,” katanya.
Fadhlina berkata demikian ketika merasmikan Majlis Gala Hari Susu Sekolah Sedunia 2026 di sini hari ini. Beliau berkata Program Susu Sekolah (PSS) dan inisiatif sokongan pemakanan di sekolah rendah adalah perlu, tetapi keperluan pelajar sekolah menengah juga tidak harus diketepikan.
Usaha memastikan pelajar mendapat pemakanan yang mencukupi, katanya, turut seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menyasarkan penamatan kelaparan.
Beliau turut menekankan peranan penting keluarga dalam merancang pemakanan sihat. Fadhlina berharap kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan (KPM), Farm Fresh dan rakan strategik lain dapat terus diperkukuh demi manfaat pelajar serta masyarakat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh Azmi Zainal berkata PSS, yang dilaksanakan di bawah Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) KPM, bertujuan membantu menangani masalah malpemakanan dalam kalangan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
Beliau berkata kontrak bekalan PSS bagi tempoh 2025 hingga 2030 melibatkan penyediaan hampir 80 juta pek susu UHT tanpa perisa setiap tahun kepada pelajar penerima RMT sepanjang tahun persekolahan.
Azmi berkata memastikan bekalan susu sampai kepada pelajar di sekolah setiap hari bukan tugas mudah. Beliau turut menghargai rakan penghantaran yang membantu menyalurkan susu ke setiap sekolah yang mengambil bahagian, termasuk sekolah di kawasan terpencil dan sukar dikunjungi.
Pada majlis itu, Farm Fresh turut menyampaikan cek cura bernilai RM500,000 bagi membiayai dermasiswa untuk 500 pelajar Tingkatan Enam terpilih daripada keluarga B40. Setiap pelajar akan menerima RM1,000 bagi menyokong mereka meneruskan pengajian.