Four Points KLCC raikan ulang tahun ketiga dengan inisiatif komuniti
KUALA LUMPUR, 24 Nov — Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, City Centre menyambut ulang tahun ketiganya pada 17 Nov dengan melaksanakan beberapa inisiatif untuk mendekati kanak-kanak kurang bernasib baik dan menyokong bakat kreatif tempatan.
Dalam kenyataan hari ini, pihak hotel berkata sambutan itu mencerminkan komitmennya untuk meluaskan makna layanan mesra menerusi penglibatan komuniti dan sokongan terhadap bakat tempatan, bukan hanya melalui perkhidmatan hotel.
Sebagai sebahagian daripada sambutan, pasukan hotel mengunjungi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Kiu (PDK Kiu) di Taman Maluri, Cheras. Pusat komuniti itu menyokong kanak-kanak berusia antara empat hingga lapan tahun yang mengalami masalah pendengaran dan ketidakupayaan pembelajaran.
Lawatan itu dijalankan menerusi program TakeCare Marriott International. Pasukan hotel mengadakan aktiviti interaktif dan berinteraksi dengan kanak-kanak berkenaan, manakala pasukan kulinari menyediakan hidangan khas untuk mereka.
Hotel itu turut mengagihkan 400 cawan minuman Nitro Brew percuma selama empat hari bermula pada tarikh ulang tahun, 17 Nov. Minuman itu disediakan di Grab N Go dengan empat pilihan perisa, iaitu Black Nitro Brew, Spanish Nitro Latte, Nitro Lychee Kaffir dan Nitro Hibiscus Peach.
Minuman berkenaan dihidangkan dalam cawan bawa pulang lestari yang direka khas dengan karya asli Faerslog, ilustrator dan artis visual tempatan. Karya beliau turut dipamerkan di hotel dan ditawarkan untuk dibeli menerusi paparan seni khusus, sekali gus menyediakan ruang bagi mengetengahkan kreativiti tempatan.
Pengurus Besar Berbilang Hartanah Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre dan Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, City Centre, Martin Ehlers, berkata ulang tahun itu mengingatkan pihak hotel bahawa layanan mesra melangkaui pengalaman yang ditawarkan di dalam premisnya.
Beliau berkata, sambutan itu turut mencerminkan komitmen berkenaan melalui kerjasama dengan Faerslog serta lawatan ke PDK Kiu Taman Maluri. Ehlers turut menyatakan penghargaan kepada kakitangan, tetamu dan rakan komuniti yang bersama-sama menyokong perjalanan hotel sepanjang tiga tahun lalu.
Four Points KLCC dibuka pada 17 Nov 2023, serentak dengan transformasi hartanah bersepadu saudaranya, Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre, selepas kerja pengubahsuaian menyeluruh.
Terletak di tengah Kuala Lumpur, hotel itu memenuhi keperluan pengembara perniagaan dan percutian. Kemudahan mesra keluarga yang ditawarkan termasuk kolam renang luaran, zon pengembaraan Paradise Trails dan Kids Club.