Anwar: Rasuah sistemik, semua pihak perlu tegas membanterasnya
KUALA LUMPUR, 25 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan rasuah di Malaysia sebagai masalah sistemik yang memerlukan komitmen berterusan dan ketegasan semua pihak untuk dibanteras, termasuk melalui usaha menyemai kesedaran integriti dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata usaha memerangi rasuah bukan perkara mudah kerana amalan itu telah lama berakar dalam sistem. Kerajaan, katanya, perlu terus mengambil tindakan tegas tanpa menjadikan usaha meraih populariti sebagai pertimbangan utama.
“Rasuah di negara ini sudah menjadi sistemik. Itulah yang saya warisi. Kita perlu bertegas dan terus berusaha, sama ada tindakan itu popular atau tidak. Populariti perkara kedua,” katanya menerusi program Dialog Negara di TV1 malam ini.
Program terbitan RTM itu turut disiarkan serentak menerusi RTMKlik, Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.
Anwar berkata usaha membanteras rasuah terbukti lebih sukar daripada yang dijangkakan. Justeru, beliau berpandangan nilai integriti perlu diterapkan sejak usia muda kerana golongan muda berupaya membawa perubahan dan membantu menjamin masa depan Malaysia.
Beliau berkata pelbagai program telah diadakan untuk mendekati golongan muda, termasuk pertemuan di institusi pengajian tinggi, bagi menggalakkan mereka menjadikan integriti sebagai prinsip panduan.
“Kita mahu mereka berpegang pada cita-cita dan prinsip. Mereka harapan kita. Jika kita dapat meyakinkan Gen Z dan Gen Y tentang kepentingan integriti, masa depan kita akan lebih terjamin. Itulah harapan saya,” katanya.
Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa individu berpengaruh yang dikaitkan dengan rasuah menerima layanan istimewa, Anwar berkata kedaulatan undang-undang mesti dipertahankan. Beliau turut menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi kebebasan untuk menjalankan siasatan tanpa campur tangan pihak berkepentingan.
Beliau merujuk kes bekas setiausaha politik kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang didakwa dalam kes rasuah, dan berkata beliau tidak mencampuri siasatan itu.
“Apabila seseorang yang rapat dengan saya disiasat, sudah tentu saya bertanya mengenai perkara itu. Beliau memberitahu saya, dan saya berkata saya tidak akan campur tangan. Beliau kemudian didakwa. Pernahkah perkara seperti ini berlaku sebelum ini? Tidak. Rakan-rakan dalam Kabinet tahu saya tidak akan mempertahankan sesiapa yang terlibat dalam rasuah,” katanya.
Menjelang 2027, Anwar berharap semua rakyat Malaysia melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh integriti supaya pembangunan negara terus berpandukan prinsip itu. Katanya, pelajar, keluarga dan masyarakat umum mempunyai peranan membina negara, bersama-sama pemimpin serta penjawat awam.
Beliau berkata isu yang dihadapi negara berkaitan prinsip dan tingkah laku, dan tidak seharusnya dilihat melalui lensa kaum atau menyebabkan rakyat saling membenci. Sebaliknya, katanya, semua pihak perlu membetulkan keadaan bersama-sama dan membina kekuatan negara.
“Kita mempunyai potensi yang besar untuk meningkatkan kedudukan Malaysia,” katanya.
Antara panel Dialog Negara ialah pengasas Komuniti Pejuang Hartanah Datuk Ahyat Ishak, pengarah strategi kumpulan KRA Amir Fareed Rahim, pegawai perubatan dan pempengaruh media sosial Dr Malar Santhi Santherasegapan serta usahawan dan pencipta kandungan digital Adam Shamil.
Panel lain terdiri daripada pengasas dan ketua pegawai eksekutif PlusVibes Group Dr Madiha Fuad, ketua pegawai operasi kumpulan Farm Fresh Berhad Azmi Zainal, pendakwah bebas Izzhar Nazri, pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia Jason Wee dan presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.