Kerajaan MADANI selesai 12 daripada 29 isu MA63 dalam empat tahun
KUALA LUMPUR, 24 Nov — Kerajaan MADANI menyelesaikan 12 daripada 29 isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam tempoh empat tahun, mencatat kemajuan paling ketara dalam pelaksanaan perjanjian itu sepanjang sedekad lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata, keutamaan seterusnya adalah memastikan pelaksanaan MA63 terus menjadi agenda nasional. Menurutnya, beberapa perkembangan yang dicapai termasuk pewartaan geran khas sementara Sabah sebanyak RM1.5 bilion setahun.
Usaha lain termasuk pelancaran Papan Pemuka MA63 bagi memudahkan orang ramai mengikuti kemajuan pelaksanaan isu berkenaan. Kerajaan juga memulakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen.
Mustapha berkata Karnival MADANI Kenali Borneo, yang bermula di Melaka, turut membuka ruang kepada lebih ramai orang untuk mengetahui sejarah pembentukan Malaysia serta kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan. Beliau menyampaikan perkara itu menerusi hantaran Facebook sempena ulang tahun keempat Kerajaan MADANI.
Dalam hantaran sama, Mustapha mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kepercayaan dan peluang untuk berkhidmat dalam tiga portfolio berbeza. Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Sumber Manusia, kemudian Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi sebelum dilantik ke jawatan semasanya.
Katanya, setiap tanggungjawab itu membolehkannya mendengar sendiri keperluan rakyat dan membawa perkara yang dibangkitkan ke peringkat Persekutuan. Ketika berkhidmat di Kementerian Sumber Manusia, beliau terlibat dalam rundingan mengenai pindaan Ordinan Buruh Sabah.
Pindaan itu kini memberikan perlindungan lebih baik kepada pekerja, termasuk cuti bersalin selama 98 hari, cuti paterniti bagi pekerja yang layak serta waktu bekerja standard selama 45 jam seminggu.
Semasa bertugas di Kementerian Pendidikan Tinggi pula, usaha ditumpukan kepada bantuan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian. Usaha itu turut merangkumi peluasan akses kepada program Jom Masuk U, pengukuhan hak pelajar dan penyediaan ruang untuk mereka menyuarakan pandangan melalui forum TALK TO US.
Mustapha berkata pencapaian itu menjadi peringatan untuknya bekerja dengan lebih keras dan berkesan. Beliau berkata masih banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada pembaharuan yang diperkenalkan Kerajaan MADANI.