Gardenia perketat kawalan kualiti, jamin keselamatan pengguna

Shah Alam: Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) menegaskan kebimbangan pengguna terhadap beberapa produk tidak menjejaskan permintaan, malah jualan syarikat kekal meningkat. Penolong Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awamnya, Yazli Muhamad Saleh, berkata mutu produk yang konsisten dan kawalan keselamatan makanan perlu dipelihara bagi memelihara keyakinan pengguna sepanjang 40 tahun operasi.
Beliau berkata prestasi jualan syarikat kekal positif walaupun isu berkenaan mendapat perhatian di media sosial. Katanya, Gardenia turut memandang serius perkara berkenaan dan telah mengambil langkah menjalankan pengujian sampel produk di makmal bebas yang bertauliah bagi memastikan keselamatan produk keluarannya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Jalinan Media Gardenia KL 2026 yang memberi peluang kepada wakil media melawat fasiliti pengeluaran syarikat di sini semalam.
Menurut Yazli, syarikat masih menunggu keputusan analisis sampel yang diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu siasatan lanjut. Beliau menambah pemeriksaan KKM di fasiliti pengeluaran Gardenia pada 10 November lalu mendapati pihak berkuasa berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) serta amalan keselamatan makanan yang dilaksanakan syarikat. KKM turut mengambil sampel dan ketika ini sedang menjalankan siasatan; bagaimanapun, Gardenia belum menerima keputusannya dan berharap dapat mengetahuinya dalam masa terdekat.
Beliau menegaskan keputusan ujian makmal yang dijalankan mendapati tiada masalah berdasarkan parameter pengujian yang ditetapkan sehingga boleh menyebabkan keracunan makanan. Sebelum ini Gardenia memaklumkan keputusan ujian makmal bebas bertauliah mengesahkan produk berkaitan mematuhi spesifikasi keselamatan makanan serta keperluan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan berkaitan. Syarikat turut memaklumkan siasatan dalamannya tidak menemukan sebarang penyimpangan dalam proses pengeluaran, perubahan resipi atau ketidakpatuhan terhadap SOP dan kawalan keselamatan makanan bagi produk terbabit.
Menurut Yazli, Gardenia KL terus memperkukuh komitmennya terhadap keselamatan makanan, jaminan kualiti dan ketelusan operasi melalui pelaksanaan pelbagai prosedur kawalan dalam proses pengeluaran produknya. “Dalam memastikan keselamatan makanan, Gardenia KL mengamalkan Amalan Pengilangan Baik (GMP), prosedur Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) serta sistem pengurusan keselamatan makanan ISO 22000,” katanya. Amalan berkenaan menyokong usaha syarikat dalam memastikan kebersihan, memantau proses pengeluaran, menjamin kualiti produk serta mengurus risiko keselamatan makanan. “Pasukan Jaminan Kualiti (QA) syarikat turut menjalankan pensampelan dan ujian produk secara berkala bagi memastikan produk memenuhi spesifikasi ditetapkan, selain melaksanakan semakan serta audit dalaman untuk mengenal pasti ruang penambahbaikan,” katanya.
Dalam lawatan bersama media itu, Gardenia KL menerangkan proses pengeluaran roti, termasuk amalan kebersihan, kawalan kualiti serta pematuhan halal yang dilaksanakan dalam operasi harian syarikat. Bagi aspek pematuhan halal, Gardenia KL menubuhkan Jawatankuasa Halal Dalaman pada 1994 bagi menyelia keperluan halal dalam semua operasinya, serta merujuk garis panduan JAKIM dan JAIS. Syarikat turut memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk dengan mengambil kira perkembangan teknologi maklumat, maklum balas pengguna serta trend pasaran bagi menambah baik produk sedia ada dan memperkenalkan produk baharu.
Ditubuhkan sejak 1986, Gardenia KL mengendalikan tujuh kilang di Semenanjung Malaysia dan menghasilkan 67 jenis produk setiap hari, merangkumi roti buku, roti ban, roti gulung, kek, wafel, sapuan, mi kuning dan mi segera. Operasi bakerinya berjalan 24 jam sehari dalam tujuh hari seminggu.