Keluar PDP, Wong dan Rayong cetus perebutan dua kerusi GPS

PETALING JAYA: Persaingan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka sengit bagi menentukan calon untuk dua kerusi pada pilihan raya negeri akan datang, susulan pengunduran penyandangnya daripada Parti Demokratik Progresif (PDP), parti komponen gabungan itu.
Penganalisis Universiti Malaysia Sarawak, Dick Lembang Dugun, berkata keputusan naib presiden kanan PDP Wong Soon Koh dan naib presiden Johnical Rayong Ngipa untuk keluar parti menarik perhatian kerana kedua-duanya menyatakan akan terus menyokong GPS.
Menurutnya, mereka mungkin mengambil keputusan itu kerana berkemungkinan tidak dipilih sebagai calon GPS di Bawang Assan dan Engkilili. Kedua-dua kerusi itu lazimnya diperuntukkan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
“Modal utama mereka ialah boleh menang dan bekerja keras untuk rakyat. Sebab itulah mereka terus bertukar parti, tetapi masih dipilih sebagai wakil rakyat,” katanya kepada FMT.
Rayong telah memohon untuk menyertai semula SUPP dengan harapan dinamakan sebagai calon GPS di Engkilili. Sementara itu, Dugun berkata Wong, 84, mungkin memilih seseorang untuk bertanding sebagai “pengganti” pilihannya di Bawang Assan.
Jika GPS sekali lagi memberikan kedua-dua kerusi itu kepada SUPP, parti berkenaan perlu meyakinkan pengundi bahawa calonnya di Bawang Assan ialah calon rasmi gabungan tersebut, kata Dugun.
Beliau berkata Wong mungkin cuba mengelirukan pengundi pada pilihan raya akan datang dengan membawa naratif bahawa calon pilihannya juga mewakili GPS secara langsung atau sebagai calon “bayangan”.
“Jika Wong menjadi calon langsung GPS, itu menunjukkan betapa lemahnya SUPP di Bawang Assan. Dalam keadaan begitu, SUPP patut membubarkan cawangannya di kawasan itu,” katanya.
Wong dan Rayong mempunyai sejarah panjang perseteruan dengan SUPP. Kedua-duanya pernah menjadi anggota parti yang kini dipimpin Timbalan Premier Dr Sim Kui Hian.
Wong pertama kali memenangi kerusi Bawang Assan pada 1991 sebagai calon SUPP dan ketika itu merupakan pemimpin kanan parti. Beliau kemudian memegang beberapa portfolio dalam Kabinet negeri, termasuk jawatan menteri kewangan kedua.
Beliau dipecat daripada SUPP pada 2014 ketika berlaku perebutan kepimpinan dalaman. Perkembangan itu membawa kepada penubuhan Parti Rakyat Bersatu, yang kemudian dijenamakan semula sebagai Parti Sarawak Bersatu (PSB), sebuah parti pembangkang, pada pilihan raya negeri Sarawak 2021.
Rayong pula pertama kali dipilih sebagai wakil rakyat Engkilili pada 2006, bertanding atas tiket Parti Kebangsaan Sarawak dalam saingan satu lawan satu dengan SUPP. Beliau mempertahankan kerusi itu sebagai anggota SUPP pada 2011.
Selepas dipecat daripada SUPP pada 2014, Rayong dinamakan sebagai calon langsung Barisan Nasional Sarawak, yang kini dikenali sebagai GPS, selepas SUPP bersetuju memberi laluan kepadanya.
Selepas Rayong menyertai PSB, SUPP diperuntukkan semula kerusi Engkilili pada pilihan raya 2021. Namun, Rayong tetap menang dan memperoleh penggal keempat sebagai wakil rakyat.
PSB dibubarkan selepas Wong dan Rayong menyertai PDP pimpinan Tiong King Sing, masing-masing sebagai naib presiden kanan dan naib presiden. Perkembangan itu menyebabkan SUPP dan PDP menuntut kedua-dua kerusi berkenaan. PDP berhujah berdasarkan status penyandang, manakala SUPP menganggapnya kerusi tradisinya.
Bagaimanapun, Rayong memohon untuk menyertai semula SUPP hari ini.
Jayum Jawan dari Akademi Sains Malaysia berkata, Wong mungkin meninggalkan PDP kerana beliau atau wakil pilihannya tidak akan dinamakan sebagai calon GPS di Bawang Assan.
“Apabila beliau tidak dapat mempengaruhi perkara itu, beliau tiada pilihan lain selain keluar,” katanya. Jayum berkata, Rayong mungkin meninggalkan PDP dan memohon menyertai semula SUPP atas sebab yang sama.
Namun, Jayum menjangkakan Tiong tidak akan mengalah dengan mudah. Beliau merujuk kejayaan presiden PDP itu mendapatkan kerusi Dudong, yang secara tradisinya ditandingi SUPP, untuk partinya pada pilihan raya 2021.
“Presiden PDP sedang menguji SUPP. PDP memenangi Dudong pada pilihan raya negeri sebelumnya apabila Tiong sendiri mengambil alih kerusi itu betul-betul di depan mata SUPP. Beliau semakin berani,” katanya.
Jayum berkata, kerusi Bawang Assan yang mempunyai majoriti pengundi Cina akan menjadi hadiah besar jika Tiong berjaya mendapatkannya untuk PDP. Langkah itu, katanya, akan menambah pengiktirafan terhadap kepimpinan Tiong dalam parti yang kebanyakannya berasaskan masyarakat Dayak.
Beliau turut berpendapat tempoh Wong dalam PDP sememangnya tidak akan panjang kerana beliau dijangka bertembung dengan kepimpinan Tiong.
“Seperti peribahasa Cina, satu gunung tidak dapat menampung dua harimau,” katanya.