Emir Daura digantung tugas susulan dakwaan gangguan seksual pelancong Poland

Emir Daura, Umar Farouk Umar, digantung daripada semua tugas rasmi dan perjalanan luar selepas berdepan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelancong wanita dari Poland ketika lawatan ke istana Emir Daura pada 14 November lalu.
Menurut laporan BBC, wanita berkenaan mendakwa pemerintah tradisional berusia 92 tahun itu menyentuh bahagian dadanya yang menyebabkan beliau berasa tidak selesa dan terkejut dengan kejadian tersebut. Dakwaan itu tular di media sosial dan mencetuskan desakan supaya siasatan dijalankan serta Umar digantung tugas sementara.
Kerajaan negeri Katsina kemudian mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden berkenaan. Gabenor Katsina, Dikko Umaru Radda, berkata kerajaan memandang serius dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan berdasarkan hasil siasatan, manakala semua syor jawatankuasa itu akan dilaksanakan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Bagaimanapun, butiran mengenai keanggotaan jawatankuasa, skop siasatan dan tempoh penyerahan laporan tidak didedahkan. Setakat ini, Umar belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan berkenaan mahupun penggantungan tugasnya. BBC melaporkan wanita terbabit memuat naik video kejadian itu di Instagram sebelum ia dipadamkan, dengan rakaman didakwa menunjukkan seorang lelaki dipercayai emir memegang tangannya sebelum wanita itu kedengaran meminta perbuatan itu dihentikan.