Dua lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh di Penampang

Sumber: Sinar Harian

PENAMPANG: Dua lelaki tempatan berusia 30 dan 45 tahun ditahan di Kampung Dumpil sekitar jam 6.30 pagi pada Rabu bagi membantu siasatan berhubung satu pergaduhan yang didapati menyebabkan kematian seorang lelaki di hadapan sebuah premis perniagaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, berkata BSJD IPD Penampang dengan bantuan anggota Balai Polis Putatan berjaya menyelesaikan kes bunuh mangsa yang berusia 24 tahun kurang daripada enam jam selepas kejadian. “Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan pada Selasa, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada awal pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 2 Disember depan. Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dihukum mati. Pihak polis juga mengalu-alukan keterangan daripada mana-mana saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan bagi membantu siasatan.

Katanya lagi, orang ramai dinasihatkan mengelak daripada membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi menjaga kelancaran siasatan. Pihak polis turut meminta orang ramai menghubungi IPD Penampang atau hadir ke balai polis berhampiran jika ada maklumat.