Dr Hafidzah serah kepada parti tentukan calon PRU16

Sumber: Sinar Harian

KOTA BHARU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustaqim, menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan sama ada beliau akan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Beliau berkata soal pencalonan bukan keutamaan buat masa ini kerana fokus beliau adalah memastikan rakyat yang memilihnya pada pilihan raya lalu tidak berasa tersilap membuat keputusan.

Beliau menegaskan bahawa tujuan utamanya adalah membuktikan bahawa rakyat mempunyai pilihan dalam landskap demokrasi negara melalui khidmat dan usaha yang dilaksanakan sepanjang memegang amanah sebagai wakil rakyat. “Saya serahkan kepada parti untuk menentukan. Tugas saya sekarang fokus untuk memastikan rakyat yang memilih saya memang rasa mereka tidak salah pilih. Pada masa sama, saya mahu membuka mata orang lain supaya nampak bahawa mereka sebenarnya mempunyai pilihan,” katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sebelum itu, Dr Hafidzah menyerahkan Memo Sempena Hari Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita 2026 kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini. Ditanya sama ada bersedia sekiranya dipilih semula sebagai calon, beliau berkata beliau bersedia, namun perkara itu bukan keutamaan buat masa ini.

“Insya-ALLAH. Cuma bagi saya, perkara itu tidak menjadi keutamaan pada masa ini kerana kita tahu siapa yang menentukan calon. Bukan saya yang menentukan,” ujar beliau. Dalam pada itu, beliau berkata masih banyak perkara yang mahu dilakukan sepanjang menjadi wakil rakyat.