Decathlon alami serangan siber, data pelanggan terdedah

Sumber: Astro Awani
Decathlon alami serangan siber, data pelanggan terdedah
Gambar: Astro Awani

ISTANBUL: Peruncit barangan sukan dari Perancis, Decathlon, mengesahkan serangan siber yang mendedahkan data peribadi pelanggan, termasuk lebih 130,000 alamat e-mel dan jumlah nombor telefon yang hampir sama, menurut Anadolu Ajansi. Serangan itu dikatakan berlaku di Perancis pada 22 Nov 2026, melalui satu daripada penyedia perkhidmatan luarannya, bukan pangkalan data utama akaun pelanggan syarikat. Pasukan Decathlon dilaporkan mengambil tindakan segera untuk menyekat akses yang diceroboh, dan tiada data perbankan atau kata laluan terjejas.

Seorang penggodam yang menggunakan nama samaran 4me1 mendakwa mencuri pangkalan data yang dikaitkan dengan Decathlon dan menawarkan empat fail untuk dijual pada awal pagi 23 Nov, menurut laporan.

Fail-fail berkenaan dikatakan mengandungi 163,646 rekod, termasuk 137,549 alamat e-mel berbeza serta jumlah nombor telefon yang hampir sama. Maklumat yang terjejas turut merangkumi nama pertama, nama keluarga, dan alamat penghantaran pelanggan; lebih 4,100 rekod mengandungi arahan penghantaran, sebahagiannya merangkumi maklumat akses bangunan, butiran interkom dan panduan lain untuk memudahkan penghantar melakukan penghantaran, kata laporan tersebut.

Satu lagi fail dilaporkan menyenaraikan lebih 250,000 pesanan, termasuk lebih 600 penghantaran yang dijadualkan antara 23 hingga 28 Nov. Menurut Decathlon, kebocoran itu menjejaskan sebahagian pelanggan yang membuat pesanan menerusi laman web Perancisnya, dan mereka yang terlibat akan dihubungi melalui e-mel.

France 3 memberi amaran bahawa penipu boleh mengeksploitasi maklumat peribadi dan penghantaran yang terdedah dengan menyamar sebagai penghantar barangan Decathlon. Insiden itu berlaku selepas kebocoran data yang disahkan pada Oktober lalu melibatkan Train Me, anak syarikat Decathlon yang menyediakan perkhidmatan bimbingan sukan. Kedua-dua insiden tidak dilaporkan mempunyai kaitan antara satu sama lain.