Deanna Yusoff tegaskan amal gaya hidup Islam

Kuala Lumpur: Pelakon filem era 1990-an, Deanna Yusoff, 59, mengakui mengamalkan gaya hidup Islam sambil menyerahkan segalanya antara dirinya dengan Tuhan. Beliau berkata tiada keperluan untuk mengumumkan pegangan agamanya kepada umum kerana ia perkara amat peribadi untuk dibicarakan secara terbuka, sambil menegaskan bahawa Islam sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
“Kenapa perlu saya tukar? Ia (Islam) sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya. Takkan saya nak tukar (kepercayaan) hanya kerana sudah tinggal di tempat lain?” katanya ketika ditemui Harian Metro semalam berhubung kehadirannya pada sidang media pelancaran kerjasama The BoboKl dan Oh! Jazz di BoboKl di sini.
Mengulas lanjut, Deanna berkata dia memahami bahawa perkara agama yang menjadi pegangan kehidupan seseorang pasti menarik perhatian segelintir pihak, namun kisahnya mungkin sedikit berbeza kerana ibu berasal dari Switzerland dan beliau dibesarkan di negara itu. Ada campur-campur sedikit pada wajah dan budaya, tetapi bukan agama yang bercampur, tambahnya.
“Saya faham orang kadang-kadang salah anggap kepada saya bila tengok saya ini lain sedikit. Tetapi, saya tidak kisah dengan semua itu, sebab saya ini memang 'celup'. Apa pun, saya ada ramai kawan-kawan rapat yang saling menghormati cara kehidupan masing-masing. Termasuk, kawan-kawan saya yang ada di KL ini, kami sangat hormat. Sebenarnya, apa yang diperlihatkan di luar, tidak mengubah siapa saya. Masih lagi (seorang Muslim), sudahlah. Cuma, bagi saya perihal spiritual (kerohanian) ini adalah lebih baik tidak dicanangkan,” katanya.
Berbicara perkembangan terkini, Deanna berkata dia sudah menetap di Singapura sejak 2020 lalu dan sibuk menguruskan perniagaan produk kecantikan jenama sendiri. “Saya ada mendapat tawaran berlakon, tetapi tidak dapat ambil sebab sibuk dengan perniagaan, termasuk watak-watak pun tidak sesuai dan saya sudah pernah buat. Sekarang pun, saya memang selesa memberi fokus kepada perniagaan kerana lebih tenang. Pada usia sekarang, saya lebih utamakan ketenangan dan pemikiran yang positif,” katanya. Ditanya juga mengenai pasangan hidup, Deanna yang pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-10 (FFM10) itu mengakui dia sudah berpunya dan enggan berkongsi identiti pasangannya.