Dana Inovasi Media 2.0 terima 40 permohonan bagi fasa pertama

Sumber: Astro Awani
Dana Inovasi Media 2.0 terima 40 permohonan bagi fasa pertama
Gambar: Astro Awani

PETALING JAYA: Sebanyak 40 permohonan diterima bagi fasa pertama Dana Inovasi Media 2.0, yang menyediakan peruntukan keseluruhan RM30 juta untuk menyokong pembangunan industri media negara.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Kementerian Komunikasi akan meneliti semua permohonan yang dikemukakan sepanjang tempoh permohonan dibuka dari 1 hingga 14 Nov lepas. Pusingan kedua mungkin dibuka sekiranya masih ada baki peruntukan selepas penilaian selesai, katanya.

Mengulas Dana Inovasi Media 1.0, yang turut mempunyai peruntukan RM30 juta, Teo berkata 72 syarikat media menerima pembiayaan menerusi lima fasa permohonan. Lima daripada penerima itu ialah syarikat dan organisasi media berbahasa Tamil.

“Saya rasa sangat-sangat gembira dan juga berbangga kerana lima syarikat dan juga organisasi media Tamil termasuklah Vanakkam Malaysia telah mendapat manfaat melalui dana tersebut,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Filem Pendek Vanakkam Maxx 2026 di sini hari ini.

Teo turut menggesa penggiat industri kreatif memohon pembiayaan menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK), yang diselia Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Dana itu menyediakan RM15 juta menerusi enam kategori pembiayaan.

Permohonan DKK dibuka dari 16 Nov lepas hingga 21 Dis ini melalui Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) di portal sspik.finas.my, katanya.

Beliau juga memuji pertandingan filem pendek berbahasa Tamil itu yang menerima lebih 80 penyertaan. Sebanyak 10 karya terbaik dipilih ke peringkat akhir untuk merebut hadiah keseluruhan RM22,500 serta peluang menyertai penerbitan Vanakkam Maxx.

Menurut Teo, penghasilan filem pendek berdurasi kurang daripada 20 minit sering menjadi langkah awal penting bagi pengkarya sebelum beralih ke penerbitan filem cereka. Kejayaan penggiat filem Tamil tempatan pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) dan Anugerah Golden Horse ke-63 di Taiwan baru-baru ini, katanya, membuktikan potensi besar karya tempatan.

Filem pendek Deka terbitan VIP Viewers muncul juara, membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi. Paranoia terbitan Infinova Pictures menduduki tempat kedua dengan hadiah RM6,000 dan trofi, manakala Naanga Naalu Per di tempat ketiga dengan wang tunai RM4,000 dan trofi.