Anwar mahu kejayaan Farm Fresh jadi contoh perkukuh keterjaminan makanan

Sumber: Harian Metro
Anwar mahu kejayaan Farm Fresh jadi contoh perkukuh keterjaminan makanan
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kejayaan Farm Fresh Bhd yang menerima sokongan modal awal daripada Khazanah Nasional Bhd dijadikan contoh untuk memacu syarikat berpotensi, dalam usaha memastikan kemampanan industri makanan negara.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pendekatan menyokong syarikat berpotensi tinggi pada peringkat awal sebelum beralih kepada entiti baharu apabila perniagaan mencapai kematangan dan kejayaan wajar dijadikan rujukan bagi memperkukuh keterjaminan makanan.

“Kita berbangga dengan Farm Fresh kerana bukan sahaja ada di sini, malah telah berkembang ke beberapa negara lain.

“Kita juga mencatat kejayaan dari segi pengeluaran produk makanan dan dapat mengawal harga dengan cepat serta menjana hasil melalui eksport dan pelaburan di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal, dalam program Dialog Negara Khas Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri: “Di Sebalik Keputusan..” yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Azmi bertanya mengenai pendekatan kerajaan mengimbangi usaha melindungi pengguna dan menyokong daya maju pengeluar makanan ketika kos pengeluaran meningkat akibat ketidaktentuan global.

Anwar berkata industri makanan dan pertanian negara berdepan tekanan besar susulan ketidaktentuan geopolitik, termasuk konflik membabitkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat serta perang Rusia–Ukraine.

Menurutnya, kos pengangkutan perkapalan melonjak sehingga 10 kali ganda, sekali gus meningkatkan kos input import seperti fosfat yang melalui laluan strategik, termasuk Selat Hormuz.

“Semua negara di Asia, malah di Eropah kini menghadapi ketegangan politik dan sosial akibat kenaikan harga barang. Ini sebahagiannya kerana dasar fiskal negara (masing-masing) dan sebahagian lagi kerana kenaikan harga barangan import,” katanya.

Bagi mengimbangi kebajikan pengguna dengan daya maju pengeluar, beliau berkata kelemahan klasik sektor pertanian, penternakan dan perikanan perlu ditangani dengan lebih agresif oleh agensi berkaitan, termasuk melalui akses kepada modal awal seperti Agrobank.

Beliau turut menggesa peningkatan hasil pengeluaran menerusi bekalan input mencukupi, termasuk baja, serta pembaharuan infrastruktur pemasaran.

Anwar berkata penyaluran dana dalam jumlah besar perlu disertai tatakelola tegas bagi membanteras ketirisan dan budaya pemberian komisen.

“Tatakelola jangan diabaikan kerana ketirisan dana yang keterlaluan, apabila keadaan agak sistemik buruk, apabila diambil tindakan, reaksinya amat berat dan kemarahannya meluas sebab mereka selesa dengan (menerima) komisen,” katanya.