CIMIC, literasi pertahanan penting bagi memperkukuh ketahanan rakyat dan negara

Kuala Lumpur: Kerjasama Awam-Tentera atau Civil-Military Cooperation (CIMIC) dilihat sebagai elemen penting dalam memperkukuh hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat untuk mendukung keselamatan, kesejahteraan serta ketahanan negara. Penjelasan mengenai peranan CIMIC disampaikan pegawai Tugas-Tugas Khas (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Pertahanan, Noor Azleen Ambros, yang berkata CIMIC melibatkan ATM, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam pelbagai aspek berkaitan keselamatan negara.
Menurut Noor Azleen, hubungan erat dan kepercayaan yang kukuh antara rakyat dan tentera mampu meningkatkan keupayaan negara menghadapi pelbagai ancaman semasa. “Apabila rakyat dan tentera rapat dan saling mempercayai, negara lebih kukuh menghadapi apa jua ancaman. Sebab itu CIMIC ialah jambatan yang merapatkan tentera dengan rakyat supaya kita sama-sama memikul tanggungjawab mempertahankan negara,” katanya dalam AWANI Pagi pada Rabu.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kajian Polisi (Implementasi dan Strategi), Institut Kajian Pertahanan Malaysia (MiDAS), Lt Kol Mohd Fuad Azri berkata literasi pertahanan nasional perlu diperkasakan bagi memastikan rakyat mempunyai kesedaran, pengetahuan dan kemahiran asas berkaitan keselamatan serta kedaulatan negara. Beliau menambah literasi pertahanan bukan sekadar memahami aset atau keupayaan ketenteraan, malah merangkumi kefahaman terhadap isu geopolitik, ancaman siber dan penyebaran maklumat palsu. “Dalam dunia sekarang, rakyat perlu faham jenis-jenis ancaman kognitif yang boleh mereka hadapi. Kadang-kadang kita tidak sedar mesej yang dikongsi dalam aplikasi komunikasi, berita palsu, pautan atau aplikasi tertentu boleh mendedahkan data peribadi dan memberi risiko keselamatan,” katanya. Beliau juga menegaskan CIMIC membantu membina ketahanan masyarakat melalui tiga komponen utama iaitu kepercayaan, kesiapsiagaan dan perpaduan. Kepercayaan yang terjalin antara ATM dan rakyat dapat mengelakkan masyarakat daripada mudah dipengaruhi naratif palsu, manakala program kesiapsiagaan pula membantu komuniti lebih bersedia menghadapi bencana dan krisis.