CAS kembalikan takhta AFCON 2025 kepada Senegal

Sumber: Harian Metro
CAS kembalikan takhta AFCON 2025 kepada Senegal
Gambar: Harian Metro

Senegal kembali dinobatkan sebagai juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 selepas CAS membenarkan rayuan negara itu terhadap keputusan CAF yang sebelum ini membatalkan kemenangan mereka 1-0 ke atas Maghribi pada final 18 Januari lalu. CAS mengetepikan keputusan Lembaga Rayuan CAF yang memberikan kemenangan 3-0 kepada Maghribi, sekali gus memastikan Senegal sebagai juara AFCON 2025 mengikut keputusan asal final. Dalam kenyataan itu, Setiausaha Agung CAS, Matthieu Reeb berkata panel timbang tara mendapati pengadil tidak melakukan sebarang kesilapan undang-undang ketika membuat keputusan untuk meneruskan perlawanan selepas pemain Senegal meninggalkan padang selama 14 minit. "Pengadil tidak melakukan sebarang kesilapan undang-undang," katanya. Keputusan final berkenaan kekal menyatakan Senegal menang 1-0 melalui jaringan Pape Gueye ketika masa tambahan.

Kontroversi mengenai perlawanan berkenaan tercetus selepas pemain Senegal meninggalkan padang selama 14 minit apabila Maghribi diberikan sepakan penalti pada penghujung masa sebenar. Pemain kemudian kembali ke padang sebelum perlawanan disambung semula, tetapi Maghribi gagal menyempurnakan sepakan penalti berkenaan, sebelum Gueye meledak gol kemenangan Senegal pada masa tambahan. Dalam aliran alasan penghakiman, CAS menjelaskan keputusan pengadil untuk menyambung semula perlawanan berada di bawah bidang kuasa mutlaknya dan kesannya hanya berkuat kuasa dalam lingkungan padang permainan. Panel juga menyebut Artikel 82 dan 84 peraturan AFCON hanya relevan jika pengadil menghentikan perlawanan secara kekal; oleh itu kedua-dua peruntukan tersebut tidak boleh digunakan dalam kes ini kerana perlawanan diteruskan selepas pemain kembali ke padang.

CAS turut mengiktiraf bahawa pengadil membuat keputusan dalam keadaan tegang, namun situasi itu tidak bermakna tindakannya boleh dianggap sewenang-wenangnya. Pada masa sama, CAS mengambil maklum bahawa Persekutuan Bolasepak Senegal, ketua jurulatih Pape Thiaw serta beberapa pemain telah dikenakan tindakan disiplin oleh CAF melalui prosiding berasingan. Keputusan panel yang dipengerusikan pakar undang-undang sukan Perancis, Gerald Simon, dibuat sebulat suara dengan bantuan profesor undang-undang antarabangsa dari Itali, Luigi Fumagalli, dan profesor undang-undang Universiti Zurich, Ulrich Haas.

CAS memaklumkan alasan penuh keputusan telah diserahkan kepada pihak terlibat pada Selasa dan akan diterbitkan kemudian, melainkan terdapat permintaan supaya ia dirahsiakan. Sementara itu, hantaran daripada Persatuan Bolasepak Senegal di Instagram turut meraikan keputusan berkenaan dengan kenyataan: "Sekali lagi dan selamanya, juara Afrika."