Kejayaan Farm Fresh wajar jadi contoh perkukuh sekuriti makanan negara
KUALA LUMPUR, 25 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kejayaan Farm Fresh Bhd, yang menerima sokongan modal awal daripada Khazanah Nasional Bhd, dijadikan contoh bagi membangunkan syarikat berpotensi dan memastikan kelestarian industri makanan negara.
Beliau berkata pendekatan membantu syarikat berpotensi tinggi pada peringkat awal, sebelum beralih kepada entiti baharu apabila perniagaan matang dan berjaya, boleh dijadikan rujukan untuk mengukuhkan sekuriti makanan negara.
“Kita berbangga Farm Fresh bukan sahaja berada di sini, malah di beberapa negara lain. Kita mencatat kejayaan dalam menghasilkan produk makanan, mengawal harga secepat mungkin serta memperoleh hasil melalui eksport dan pelaburan di luar negara,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal, mengenai cara kerajaan mengimbangi perlindungan pengguna dengan daya maju pengeluar makanan ketika kos pengeluaran meningkat akibat ketidaktentuan global. Beliau bercakap dalam program Radio Televisyen Malaysia, Dialog Negara Khas Bersama Perdana Menteri: “Di Sebalik Keputusan”, malam ini.
Pada masa sama, Anwar berkata industri makanan dan pertanian negara berdepan tekanan besar susulan ketidaktentuan geopolitik global, termasuk konflik membabitkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat serta perang Rusia-Ukraine.
Kos penghantaran meningkat sehingga 10 kali ganda, sekali gus menaikkan kos input import seperti fosfat yang melalui laluan strategik, termasuk Selat Hormuz.
“Semua negara di Asia dan juga Eropah kini berdepan ketegangan politik dan sosial akibat kenaikan harga barang, sebahagiannya disebabkan dasar fiskal negara dan sebahagian lagi oleh masalah peningkatan harga barangan import,” katanya.
Bagi mengimbangi kebajikan pengguna dan daya maju pengeluar, kelemahan lama dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan perlu ditangani secara agresif oleh agensi berkaitan. Langkah itu termasuk menyediakan akses kepada modal awal seperti Agrobank.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata tumpuan turut perlu diberikan kepada peningkatan pengeluaran melalui bekalan input mencukupi, termasuk baja, serta pembaharuan infrastruktur pemasaran.
Beliau turut menegaskan penyaluran dana besar mesti disertai tadbir urus ketat bagi membendung ketirisan dan budaya komisen.
“Tadbir urus tidak boleh diabaikan kerana ketirisan dana yang berlebihan boleh menyebabkan masalah menjadi sistemik. Apabila tindakan akhirnya diambil, tindak balasnya amat besar dan kemarahan meluas kerana pihak yang terbabit sudah terbiasa menerima komisen,” katanya.