SIRIM QAS pertama di Asia Tenggara diakreditasi untuk standard AS9110
KUALA LUMPUR, 25 Nov — SIRIM QAS International Sdn Bhd, unit milik SIRIM Bhd, menjadi badan pensijilan pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang mendapat akreditasi bagi AS9110, iaitu keperluan sistem pengurusan kualiti untuk organisasi penyelenggaraan penerbangan.
AS9110 ialah standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi organisasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih penerbangan (MRO). Ia merangkumi bidang kritikal termasuk kelayakan udara dan keselamatan penerbangan, perancangan serta pelaksanaan penyelenggaraan, pemeriksaan dan pengujian, pengurusan risiko, faktor manusia, kebolehkesanan dan kawalan data teknikal.
SIRIM berkata akreditasi itu membolehkan organisasi yang layak mendapatkan pensijilan bertauliah melalui SIRIM QAS International. Organisasi berkenaan termasuk penyedia penyelenggaraan pesawat dan helikopter, kemudahan baik pulih enjin, organisasi pembaikan komponen dan avionik serta penyedia penyelenggaraan penerbangan pertahanan.
Standard AS9110 melengkapi peraturan penerbangan berkaitan yang ditadbir pihak berkuasa seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) dan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA), menurut SIRIM.
Weststar Aviation Services Sdn Bhd dan Pecca Aviation Services Sdn Bhd antara syarikat yang berjaya memperoleh pensijilan di bawah Sistem Pengurusan Kualiti Aeroangkasa itu.
Pengerusi SIRIM Datuk Dr Khairol Anuar Mohamad Tawi berkata pencapaian berkenaan akan mengukuhkan keupayaan penilaian pematuhan domestik Malaysia dan menyediakan laluan pensijilan bertauliah yang sejajar dengan keperluan pengurusan kualiti aeroangkasa antarabangsa kepada organisasi MRO yang layak.
Beliau berkata setiap komponen, prosedur penyelenggaraan dan proses operasi perlu mematuhi keperluan teknikal yang ketat. Kegagalan dari segi kualiti, katanya, boleh membawa kesan yang melangkaui kerugian komersial dan berpotensi menjejaskan keselamatan operasi serta keyakinan orang ramai.
Dalam ucapan alu-aluan pada Majlis SIRIM Industri 2026 malam ini, Khairol Anuar berkata pematuhan kepada standard aeroangkasa yang diiktiraf antarabangsa semakin penting bagi syarikat Malaysia yang mahu menjadi pembekal kepada pengeluar dan pengendali aeroangkasa utama antarabangsa. Pematuhan itu menunjukkan kecekapan teknikal, mengukuhkan keyakinan pelanggan dan menyokong penyertaan dalam rantaian bekalan antarabangsa yang dikawal ketat.
Keupayaan pensijilan domestik yang lebih kukuh juga boleh meningkatkan akses kepada perkhidmatan penilaian pematuhan khusus, menyokong pembangunan kepakaran teknikal tempatan dan mengurangkan kebergantungan sepenuhnya syarikat Malaysia kepada penyedia perkhidmatan luar negara, katanya.
Beliau menggalakkan SIRIM terus memperluas keupayaan pensijilan, pengujian dan teknikal berkaitan aeroangkasa, sambil memastikan perkhidmatannya sejajar dengan perkembangan standard antarabangsa, kemajuan teknologi dan keperluan industri. Khairol Anuar turut menggesa penyedia MRO serta pengeluar aeroangkasa Malaysia terus melabur dalam tenaga kerja berkemahiran, pendigitalan, penambahbaikan proses dan amalan penyelenggaraan maju.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Malaysia sudah muncul sebagai pemain serantau yang berdaya saing dalam sektor MRO. Bagaimanapun, katanya, masih banyak peluang untuk negara berkembang daripada penyelenggaraan pesawat konvensional kepada kegiatan lebih khusus dan bernilai tinggi, termasuk pembaikan enjin serta komponen.
Johari berkata cita-cita Malaysia perlu melangkaui usaha menarik pemain aeroangkasa global yang sudah mantap ke negara ini. Malaysia juga perlu membangunkan ekosistem syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan untuk menjadi rakan penting dalam rantaian bekalan aeroangkasa global.
Pada 2025, SIRIM QAS International berkhidmat kepada lebih 7,000 pelanggan di bawah Skim Pensijilan Sistem Pengurusannya dan mengeluarkan 653 sijil baharu. Enam syarikat pula menerima pengiktirafan di bawah skim Pengurusan Lean dan Green 5S SIRIM Academy.