Perlombongan pasir dasar laut jana lebih RM53.38 juta hingga Oktober
PORT KLANG, 25 Nov — Aktiviti perlombongan pasir dasar laut di perairan Selangor menjana lebih RM53.38 juta kepada kerajaan Persekutuan sehingga Oktober tahun ini, susulan penambahbaikan sistem pemantauan digital bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan mencegah ketirisan hasil.
Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata kutipan itu meneruskan momentum positif dalam pengurusan sumber mineral negara, selepas hasil meningkat daripada RM15.65 juta pada 2024 kepada RM75.15 juta tahun lepas.
Beliau berkata peningkatan tersebut mengambil kira kadar hasil semasa, iaitu RM1 bagi setiap meter padu pasir untuk kegunaan domestik dan RM4.50 bagi setiap meter padu bagi tujuan eksport.
“Peningkatan hasil ini adalah kesan langsung pendigitalan sistem pemantauan, termasuk penggunaan sistem pengurusan pengorekan dan pelupusan (DDMS) untuk mencegah ketirisan hasil serta Sistem Maklumat Eksekutif (EIS) yang digunakan secara dalaman oleh pengurusan tertinggi,” katanya.
Mohd Fauzi berkata demikian selepas menyertai program pemantauan lapangan operasi perlombongan pasir luar pesisir bersama pengamal media, dengan menaiki MV Polaris, sebuah kapal pelbagai guna bagi kerja-kerja boya dan sokongan maritim milik Jabatan Laut Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya menyasarkan kutipan tahun ini menyamai prestasi tahun lepas dan yakin sasaran itu dapat dicapai dengan berbaki dua bulan.
Menurutnya, setiap kapal pengorek pasir yang beroperasi dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dipantau secara berterusan, termasuk dari segi lokasi operasi dan jumlah pasir yang dikeluarkan dalam meter padu.
Maklumat itu kemudiannya disemak silang dengan borang laporan pemegang lesen, katanya.
Beliau berkata tindakan tegas, termasuk pembatalan lesen, akan dikenakan terhadap syarikat yang melanggar syarat operasi bagi memastikan sumber negara diurus dengan baik dan menyumbang kepada ekonomi.
Antara kesalahan yang lazim dikesan ialah beroperasi di luar waktu dibenarkan, iaitu dari 7 pagi hingga 7 malam, melebihi had kapasiti pengangkutan pasir dan memasuki kawasan di luar pelan pemetaan yang ditetapkan.
Mohd Fauzi berkata aktiviti penerokaan dan eksploitasi sumber semula jadi di dasar laut melebihi had tiga batu nautika perairan negeri dikawal di bawah Akta Pelantar Benua 1966 (Akta 83), yang menjadi asas perundangan bagi kegiatan sumber mineral.
Dalam aspek penguatkuasaan, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) bekerjasama rapat dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MMEA) serta beberapa agensi teknikal bagi memastikan pemegang lesen mematuhi syarat ditetapkan.
JKPTG bertindak sebagai urus setia di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), selain menyelaras permohonan bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (DOE) serta Pusat Hidrografi Nasional (PHN).
Beliau berkata keluasan EEZ yang besar memerlukan pemantauan lebih cekap, termasuk pertimbangan untuk menambah anggota, memperkukuh aset dan menaik taraf sistem pengesanan secara berkala serta meningkatkan kerjasama dengan agensi berkaitan.
“Selain mengawal hasil, pendekatan bersepadu yang merangkumi pengurusan lesen dan kajian teknikal memastikan kelestarian sumber marin, sekali gus mengurangkan risiko terhadap alam sekitar dan kepentingan komuniti nelayan tempatan,” katanya.
Mohd Fauzi berkata setiap permohonan lesen dikenakan fi RM3,000 dan perlu dinilai Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) yang dipengerusikan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan sebelum dikemukakan untuk kelulusan menteri.
Permohonan terbuka kepada mana-mana syarikat yang memenuhi syarat ditetapkan dan boleh dikemukakan menerusi sistem dalam talian MyLAND tanpa kuota tetap. Bagaimanapun, kelulusan akhir kekal di bawah budi bicara pihak berkuasa, katanya.