Noraini mahu lebih ramai pekebun kecil manfaatkan teknologi MPOB
KUALA LUMPUR, 25 Nov — Teknologi dan kepakaran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) perlu dimanfaatkan lebih ramai pekebun kecil bagi meningkatkan produktiviti serta taraf hidup mereka, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Beliau berkata MPOB perlu terus turun padang dan berhubung secara langsung dengan pekebun kecil untuk memahami cabaran yang dihadapi, selain menyediakan penyelesaian praktikal bagi membantu mereka.
“Kita tidak mahu teknologi kita maju sedangkan pekebun kecil ketinggalan,” katanya pada majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2026 di sini malam ini.
Noraini berkata peningkatan produktiviti membawa makna berbeza kepada pekebun kecil kerana ia bukan sekadar menaikkan hasil tanaman. Pendapatan daripada peningkatan itu juga boleh membantu mereka membiayai pendidikan anak-anak dan memperbaiki taraf hidup keluarga.
Beliau berkata MPOB memberi tumpuan kepada lima teras menerusi kerangka strategik PALMS 2030, iaitu produktiviti, automasi, rendah karbon, kebolehpasaran dan kemampanan.
Menurutnya, usaha meningkatkan hasil perlu dilaksanakan tanpa terlalu bergantung pada peluasan kawasan tanaman. Pada masa sama, penggunaan mekanisasi, robotik, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) perlu dipercepat bagi meningkatkan kecekapan industri.
Pendekatan itu juga penting untuk menarik minat golongan muda, dengan menggalakkan mereka melihat sektor minyak sawit sebagai industri moden yang menawarkan peluang dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan keusahawanan, katanya.
Noraini berkata usaha mengurangkan pelepasan karbon, memanfaatkan biojisim dan memperluas pembangunan produk hiliran bernilai tinggi juga perlu diberi perhatian.
“Malaysia bukan sahaja patut dikenali sebagai pengeluar minyak sawit berkualiti, tetapi juga sebagai sumber pengetahuan, teknologi dan penyelesaian bagi industri minyak sawit global,” katanya.